BERMULA 1 November lalu‚ Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 di seluruh negara untuk tempoh dua bulan sehingga 31 Disember.
Memetik Ketua Pengarah JPJ‚ Datuk Aedy Fadly Ramli‚ operasi ini diadakan ekoran peningkatan statistik kemalangan bulanan yang membawa kepada kematian di mana sejumlah besarnya melibatkan motosikal. Trend ini sangat membimbangkan.
Jika diteliti laporan media‚ saban hari ada laporan kemalangan melibatkan motosikal‚ sama ada kerana kecuaian sendiri atau melibatkan kenderaan lain. Oleh itu‚ kawan-kawan Kedai Kopi sokong usaha JPJ untuk mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan.
Melalui operasi ini‚ penguatkuasaan memberi tumpuan kepada memantau‚ mengesan dan bertindak terhadap pemilik dan penunggang yang didapati melanggar peraturan jalan raya sehingga membawa kepada kemalangan.
Daripada pemerhatian kawan-kawan Kedai Kopi di Kuala Lumpur‚ ramai penunggang motosikal yang tidak mematuhi peraturan jalan raya. Mereka memecut ketika lampu merah atau mencelah di antara kenderaan lain sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Kawan-kawan Kedai Kopi sendiri pernah pecah lampu isyarat belakang kereta kerana dilanggar oleh penunggang motosikal.