JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama-sama kementerian dan agensi berkaitan telah melaksanakan Operasi Bersepadu Mengambil Orang Papa di Kuala Lumpur sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2024. Bilangan keseluruhan gelandangan yang diambil adalah seramai 232 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pada tahun 2019, hasil cerapan Kementerian Wilayah Persekutuan bersama DBKL mendapati seramai 1,128 orang bergelandangan di Kuala Lumpur.
“Pada tahun ini, sebanyak tiga kali cerapan telah diadakan iaitu pada 14 Februari, 6 Jun dan 3 September 2024 di lima zon hotspot yang dikenal pasti oleh pihak DBKL iaitu di sekitar Menara Bangkok Bank, Menara Raja Laut dan Public Bank Raja Laut, Jalan Masjid India, Menara Takaful Kampung Attap dan Kompleks TLK Brickfields.
“Hasil cerapan tersebut adalah masing-masing seramai 414 orang, 122 orang dan 213 orang. Hasil kerjasama dan komitmen semua pihak dilihat telah memberi impak dan kesan positif ke atas penurunan bilangan gelandangan daripada cerapan terdahulu pada tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli yang bertanya adakah pihak Kementerian mempunyai data yang khusus berkaitan isu gelandangan terutamanya di Bandar raya Kuala Lumpur; dan apakah usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian atau melalui kerjasama dengan pihak luar, seperti badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan kebajikan golongan gelandangan sentiasa terpelihara.
Menurut Zaliha, sebahagian gelandangan telah diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan selebihnya, gelandangan dinasihatkan untuk menghuni di lokasi penempatan sementara gelandangan iaitu di Pusat Khidmat Gelandangan (PKG) Medan Tuanku dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (Anjung Kembara).
“Kebajikan golongan gelandangan sentiasa dipelihara khususnya melalui agihan makanan di pusat-pusat penempatan sementara gelandangan dengan kerjasama NGO yang berdaftar dengan DBKL dan YKN.
“Saya menyeru kepada semua NGO di luar sana yang berhasrat untuk memberi makanan, supaya terus mendaftar dengan pihak DBKL agar program agihan boleh dilakukan secara terancang,” katanya.
Menjelang Kepengurusian ASEAN pada tahun 2025, Zaliha turut memohon komitmen setiap kementerian dan agensi untuk sama-sama bekerja melalui pendekatan whole of nation dalam menghadapi isu gelandangan di Kuala Lumpur. – WILAYAHKU