SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan tiga selebriti membabitkan siasatan berhubung Op Sky melibatkan pinjaman peribadi penjawat awam.
Sumber berkata, ketiga-tiga selebriti terlibat hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi memberi maklumat dan membantu siasatan kes berkenaan, semalam.
“Ketiga-tiga selebriti ini tiba di Ibu Pejabat SPRM pagi semalam melalui pintu utama dan bukan mengikuti pintu belakang seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media.
“Setakat ini SPRM telah selesai mendapatkan maklumat daripada mereka dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan.
“Mereka hadir pada pukul 9.30 pagi semalam dan selesai memberi maklumat sekitar 2.30 petang. Buat masa ini juga tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi melengkapkan siasatan. – WILAYAHKU