SERAMAI 11 penunggang motosikal dikenakan kompaun atas kesalahan menggunakan kenderaan itu di laluan sisiran tasik Putrajaya dalam satu Operasi Bersepadu Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan oleh pihak Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar pusat pentadbiran negara.
Menurut Naib Presiden (Perkhidmatan Korporat) PPj, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar, operasi dilaksanakan susulan laluan tersebut sering kali disalah guna penunggang motosikal tanpa menghiraukan keselamatan pengguna lain termasuk pejalan kaki dan penunggang basikal.
“Isu ini telah pun berlanjutan banyak kali dan kita juga telah melakukan advokasi kepada mereka untuk tidak menggunakan laluan sisiran tasik untuk dijadikan laluan motosikal.
“Kompaun telah dikeluarkan mengikut Seksyen 3(1)(m) Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-Undang Kecil Laku Musnah (Wilayah Persekutuan Putrajaya 2003),” katanya dalam sidang media Op PeWA baru-baru ini.
Shamshul berkata pihak JPJ turut melaksanakan operasi bersama PPj dengan mengambil tindakan ke atas penunggang terutama warga asing yang tidak mempunyai lesen, cukai jalan, insurans kenderaan dan mempunyai nombor pendaftaran palsu.
“Motosikal yang disita dibawa ke lokasi siar kaki hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya bagi proses dokumentasi dan dihantar ke Depoh Simpanan Kenderaan JPJ di Semenyih.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menggunakan kenderaan bermotor di laluan sisiran tasik dan hanya kenderaan penyelenggaraan yang mempunyai pelekat sahaja dibenarkan mengikut masa yang telah ditetapkan.
“Kita berharap penunggang motosikal di Putrajaya memberi kerjasama baik kepada PPj, JPJ dan mana-mana penguat kuasa yang mengawal selia,” ujarnya.
Untuk rekod, PPj telah melaksanakan tindakan kompaun ke atas 39 penunggang motosikal pada tahun lalu manakala sebanyak 23 kompaun telah dikeluarkan dari awal tahun sehingga bulan lalu. – WILAYAHKU