Berita

Op PeWA: 73 kenderaan dipandu warga asing disita

- Diterbit 30 Julai 2024 8:47 PM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) menyita 73 kenderaan yang dipandu warga asing dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar Putrajaya hari ini.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, operasi pada hari ini memfokuskan kepada pemeriksaan semua jenis kenderaan yang dipandu warga asing dan pemandu kenderaan.

“Operasi pada kali ini memfokuskan kepada pemandu warga asing yang memandu tanpa memiliki lesen memandu yang sah, lesen kenderaan motor tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, kita turut memfokuskan kepada pematuhan piawaian teknikal serta keselamatan kenderaan yang digunakan oleh pengendali atau pemandu kenderaan yang menjadi punca kepada kemalangan dan kematian pengendali motosikal atau pemandu kenderaan itu sendiri atau pengguna jalan raya yang lain.

“Sebanyak 90 kenderaan telah diperiksa dengan 73 kenderaan disita membabitkan 72 motosikal dan sebuah kereta. 228 notis pelbagai kesalahan juga telah dikeluarkan kepada pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu yang sah, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam sidang media Op PeWA hari ini.

Mengulas lanjut, Aedy memaklumkan pihaknya akan memanggil pemilik terbabit untuk diberikan khidmat advokasi supaya tidak mengulangi kesalahan berkenaan.

“Pihak kami dan PPj bersetuju sekiranya dapat, kita akan panggil semua pemilik kenderaan ini untuk dikumpulkan dan beri khidmat advokasi supaya tidak mengulangi perkara ini lagi.

“Kita akan sediakan pegawai untuk memberi khidmat nasihat kerana perkara ini dah berlaku banyak kali, ada yang dah dikompaun tetapi masih lagi memberi kebenaran kepada warga asing tanpa lesen memandu sah untuk menggunakan kenderaan mereka.

“Mereka ini dilihat semakin kritikal dan semakin berani melanggar peraturan yang ditetapkan. Jadi dalam konteks ini kita menjalankan operasi pada hari ini untuk memastikan kawalan terhadap kesan domino dan keselamatan pengguna jalan raya dapat dikawal. Operasi berterusan akan dilaksanakan bagi memburu PeWA yang melakukan kesalahan jalan raya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa melaksanakan tanggungjawab untuk mematuhi peraturan jalan raya yang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya selamat dan terjamin.

“Warga Malaysia dipohon untuk tidak membenarkan atau tidak menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing kerana ia akan mengakibatkan risiko yang amat tinggi bukan sahaja kepada warga asing malah kepada pemilik kerana pemilik juga akan diambil tindakan oleh JPJ. Kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan. Pandu cermat, sampai selamat.

“Di samping itu, orang ramai digalakkan untuk menjalankan tanggungjawab dalam membuat laporan aduan secara terus atau real time menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] berserta dengan butiran lengkap aduan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas