Berita

Op Khas Puspakom: 21 kenderaan disita libatkan pelbagai kesalahan

- Diterbit 13 Januari 2025 12:07 PM MYT

SEBANYAK 21 kenderaan disita melalui Op Khas Puspakom yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan pelbagai kesalahan termasuk insurans tamat tempoh.

Menurut JPJ, operasi khas itu dilaksanakan sejak 30 Disember lalu selepas 37 buah Puspakom di seluruh negara diperiksa.

Katanya, lain-lain kesalahan adalah penggunaan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, mengggunakan kenderaan yang tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

“Op Khas Puspakom adalah salah satu elemen khas menerusi Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tindakan penguatkuasaan dengan lebih tegas terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

“Pelaksanaan Op Khas Puspakom adalah untuk memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awal di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” kata JPJ dalam kenyataan pada Isnin.

JPJ menambah, daripada jumlah sitaan tersebut, pihaknya turut mengesan sebuah lori yang diluluskan Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan tersebut tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan.

Katanya, tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan.

“Berikutan daripada kes tersebut, JPJ telah mengadakan kerjasama startegik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes yang melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom.

“Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguat kuasa yang lain,” jelasnya.

JPJ juga katanya, sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan kenderaan perdagangan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas