SEORANG lagi anak kepada pemimpin utama GISBH dan anak kepada bekas pemimpin al-Arqam ditahan polis di empat lokasi berasingan, pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-duanya yang berusia 32 tahun antara tujuh individu yang ditahan menerusi Op Global di Temerloh, Pahang; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Menurut beliau, kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas permohonan dikemukakan polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.
“Pasukan serbuan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuat tangkapan di empat lokasi antara pukul 11 malam sehingga 4.07 pagi tadi.
“Suspek disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya pada Jumaat.
Katanya, soal siasat awal masih dijalankan dan kesemua suspek kini ditempatkan di lokap berpusat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Shah Alam.
Beliau berkata, penahanan terbaru itu menjadikan keseluruhan seramai 31 individu ditahan sejak kelmarin, bagi membantu siasatan yang dijalankan berhubung pelbagai kes yang dikaitkan dengan rumah amal kendalian GISBH. – WILAYAHKU