POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan risikan dan siasatan terhadap organisasi GISBH dengan 103 kertas siasatan dibuka membabitkan organisasi berkenaan sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, 98 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) termasuk satu kertas siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Menurut beliau, selebihnya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) serta pelbagai kesalahan lain.
“Sebanyak 63 kertas siasatan selesai dengan 22 daripadanya sudah dituduh manakala 41 kes diklasifikasikan tiada tindakan lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya kepada media pada Rabu.
Razarudin memberitahu, baki 40 kertas siasatan lagi belum selesai yang mana ia masih dalam tindakan pegawai penyiasat dan TPR.
Sepanjang Op Global dijalankan katanya, 416 individu ditahan membabitkan 189 lelaki dan 227 wanita.
“Daripada jumlah itu 43 individu dituduh atas pelbagai kesalahan termasuk 22 orang yang dituduh mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan manakala 168 orang diberikan jaminan polis dan 201 orang bebas tanpa syarat.
“Dua individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran dan dua lagi diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah,” katanya.
Beliau menegaskan risikan dan siasatan masih diteruskan terhadap organisasi berkenaan.
“Tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat aduan serta maklumat boleh dipercayai atau syak munasabah yang diterima atau terkesan oleh polis,” katanya. – WILAYAHKU