Berita

Op Global: Polis tahan lima lelaki, dua motorhome tertera lambang GISBH dirampas

- Diterbit 18 September 2024 11:43 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Unit Risikan Sempadan Zon Utara menahan dua kenderaan motorhome tertera lambang GISBH dekat sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah, kira-kira pukul 6 petang tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan pemeriksaan telah dibuat dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan turut menangkap lima lelaki berusia di antara 28 hingga 41 tahun untuk membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan tersebut telah bergerak ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut beliau, turut ditahan adalah sebuah kenderaan Perodua Myvi.

Katanya, soal siasat awal dan proses dokumentasi masih dijalankan.

“Tangkapan dan rampasan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, tiga individu yang sebelum ini ditahan dipercayai berkaitan jenayah seksual membabitkan sebuah rumah amal melibatkan GISBH akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, esok.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telah membuka empat kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan mendapat kebenaran daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi menuduh ketiga-tiga individu terbabit dengan 14 pertuduhan.

Katanya, ketiga-tiga individu terbabit berusia 20 hingga 22 tahun itu akan dituduh pada pukul 8.30 pagi esok.

“Individu pertama berusia 21 tahun akan didakwa dengan lima pertuduhan iaitu satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta 792 manakala empat lagi di bawah Seksyen 14(a) Akta 792.

“Seorang lagi lelaki berusia 20 enam pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta 792 manakala individu ketiga berusia 22 tahun akan didakwa dengan tiga pertuduhan dengan seksyen sama,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan siasatan polis mendapati 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat.

Razarudin dilaporkan berkata, ia berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu. – Metra Syahril/WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas