POLIS Diraja Malaysia (PDRM) hari ini melancarkan fasa empat Op Global yang tertumpu di semua negeri di Semenanjung bagi mengesan saki-baki ahli yang terlibat dengan organisasi GISBH.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi fasa itu melibatkan kekuatan 3,801 sumber manusia meliputi PDRM dan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kimia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut beliau, operasi pertama fasa empat yang dilancarkan telah berjaya menahan 155 orang suspek melibatkan 78 lelaki dan 77 wanita di 82 premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, maahad dan rumah persendirian.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“PDRM bersama Jakim turut berjaya membuat beberapa rampasan ketika operasi dijalankan termasuk risalah-risalah mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat,” katanya pada Sabtu.
Razarudin memberitahu, seramai 186 orang mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita telah berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.
Katanya, melalui operasi yang dijalankan juga, PDRM mendapati beberapa premis yang diserbu kosong dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri. – WILAYAHKU