POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah berjaya menahan 31 orang ahli GISBH termasuk 17 individu yang memegang jawatan di organisasi tersebut dalam operasi bermula 18 September lalu di sekitar ibu negara, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah (sempadan Malaysia-Thailand).
Permohonan reman bagi semua tangkapan tersebut telah dibenarkan selama tujuh hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Penangkapan terhadap kesemua individu itu menjadikan jumlah tangkapan terkini seramai 200 orang manakala 139 suspek yang ditahan sebelum ini telah disambung reman dan 23 lagi diberi jamin polis atas sebab-sebab tertentu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sehingga kini PDRM telah membuka 37 kertas siasatan termasuk tiga penambahan kes pada 17 September lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta satu di Sungai Kapar, Selangor di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2017.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kertas siasatan melibatkan tujuh suspek telah berjaya dituduh dengan 29 pertuduhan.
“Kesemua mangsa berusia 18 tahun ke atas telah diserahkan kepada waris manakala yang berusia 18 tahun ke bawah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Razarudin memberitahu, PDRM sedang giat dan kekal komited dalam melaksanakan siasatan secara terperinci dalam operasi ini.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berlangsung.
“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk tampil membuat laporan bagi sekian kalinya di mana-mana balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan terkadap kes tersebut secara tuntas dan menyeluruh,” katanya. – WILAYAHKU