SERAMAI 19 orang termasuk pemimpin utama GISBH ditahan polis dalam Op Global ketika serbuan di empat unit kediaman di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu Wilayahku, serbuan dilakukan pada jam 5.40 pagi hasil koordinasi bersama Bahagian D8 (Operasi Khas) Bukit Aman; Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Pasukan Serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ditanya sama ada isteri dan anak-anak kepada pemimpin utama organisasi itu turut ditahan, katanya, ia masih dalam siasatan polis.
Menurut beliau, kesemua mereka telah bersembunyi daripada dikesan pihak polis di kediaman berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, kita telah menahan seramai 19 orang terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut, 11 daripada mereka adalah target list,” katanya.
Katanya, soal siasat awal dan proses dokumentasi masih dijalankan.
Beliau menambah, polis akan memohon untuk perintah reman terhadap 19 individu berkenaan pada jam 3 petang ini.
Terdahulu beliau memberitahu, lima individu termasuk anak kepada pemimpin tertinggi GISBH direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap individu terbabit, berusia 30 hingga 41 tahun, dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam susulan permohonan dibuat oleh polis. – WILAYAHKU