SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 14 individu kerana disyaki terlibat mengemukakan borang daftar kelahiran yang mengandungi butiran matan palsu.
Ia berkaitan pengesahan kelahiran bayi-bayi sedangkan tiada rekod kelahiran tersebut di hospital-hospital yang terlibat.
Perintah reman selama lima hari sehingga 20 April itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Selangor.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2015 hingga 2023.
“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan memohon kad pengenalan dan sijil kelahiran anak kepada Jabatan Pendaftaran Negara menggunakan butiran matan palsu bagi pengesahan kelahiran bayi-bayi sedangkan tiada rekod kelahiran bayi-bayi tersebut di hospital yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU