SUKAN berkuda sering dikaitkan dengan sukan yang eksklusif dan hanya untuk golongan elit sahaja.
Ia adalah tidak benar sama sekali. Justeru bagi mendekatkan orang ramai dengan sukan tersebut, Kelab Kuda Istimewa (UNIK) bersama Oh!Ria Fest Management menganjurkan Oh!Ria Fest di Taman Ekuestrian Putrajaya bermula 2 hingga 4 Ogos ini.
Menurut Presiden UNIK, Zahari Senin, festival yang julung kali diadakan itu memberi peluang kepada kelab tersebut bagi mengutip dana untuk membantu menjalankan pelbagai aktiviti khususnya melibatkan anak-anak istimewa.
“Kelab kami ditubuhkan pada Oktober 2023 dengan objektif utama untuk menyediakan perkhidmatan terapi berkuda secara percuma khususnya kepada golongan awam yang kurang berkemampuan.
“Kami mempunyai keahlian ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme dan orang kurang upaya (OKU). Antara kaedah rawatan selain daripada elemen perubatan moden adalah dengan melibatkan haiwan seperti kuda untuk tujuan terapi mental dan fizikal.
“Kami berharap dengan penganjuran Oh!Ria Fest ini dapat membolehkan kami membuat penjenamaan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penubuhan dan fungsi UNIK,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Jurulatih Tahap 2 Riding for Disable (RDA) itu berkata pihaknya turut menawarkan pengajaran dan perkongsian mengenai sukan berkuda secara percuma kepada orang awam yang berminat.
“Ia termasuk pengetahuan asas seperti cara mengendalikan kuda, teknik menunggang yang betul dan penjagaan kuda. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman dan keterampilan sukan berkuda dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden UNIK, Datin Nor Ainon Wan Mohd Fadzil berkata pihaknya bersama Oh!Ria Fest Management berhasrat untuk menganjurkan acara sukan berkuda berskala nasional pada masa akan datang.
“Kami lihat sukan berkuda atau ekuestrian berpotensi untuk dimajukan dan menjadi sebahagian sukan popular di Malaysia. Acara sukan berkuda berskala nasional sesuai diadakan di Malaysia kerana negara kita mempunyai banyak fasiliti sukan berkuda.
“Ia juga dapat memberi banyak pendedahan kepada orang awam dan mereka yang terlibat dalam industri sukan berkuda di Malaysia. Melalui acara ini, kami berharap dapat menarik minat lebih ramai individu terhadap sukan berkuda dan memperkenalkan keunikan sukan ini kepada masyarakat.
“UNIK juga sedang merancang untuk menjalankan aktiviti bagi mencungkil bakat atlet Paralimpik dalam sukan berkuda. Dengan bimbingan dan latihan yang betul, kami berharap dapat melahirkan atlet berkuda yang mampu bersaing di pentas antarabangsa agar dapat mengharumkan nama negara,” ujar beliau yang juga merupakan Jurulatih Tahap 3 RDA.
Sementara itu, wakil pihak penganjur Oh!Ria Fest iaitu Oh!Ria Management, Mohamad Fauzi Md Nor memberitahu sebanyak 80 pempamer dan vendor mengambil bahagian dalam menyediakan khidmat jualan makanan dan bukan makanan di festival tersebut.
“Antara aktiviti yang kami anjurkan ialah zumba, pound, pony-ride, sesi mengenali dan carrot time bersama kuda, demo lukisan abstrak, demo yoga dan persembahan selebriti tempatan. Kita juga menganjurkan pertandingan dressage dan show jumping kuda.
“Lebih menarik, festival ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk, ia adalah percuma,” ujarnya.
Oh!Ria Festival beroperasi bermula pukul dua petang hingga 10 malam pada 2 Ogos (Jumaat) manakala pada 3 dan 4 Ogos (Sabtu dan Ahad) akan beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam. – WILAYAHKU