Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
MALAYSIA adalah nama yang dipilih semasa penubuhan kerajaan persekutuan yang menggabungkan kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.
Pada ketika itu, penubuhan kerajaan ini mendapat tentangan dari negara jiran, Filipina dan Indonesia hingga memaksa diadakan satu pungutan suara penduduk di Sabah dan Sarawak.
Nama Malaysia sebenarnya telah pun wujud seawal tahun 1831 setelah diperkenalkan oleh seorang pelayar Perancis yang bernama Jules Dumort d’Urville. Nama asalnya adalah dalam bahasa Perancis, daripada gabungan perkataan ‘Malais’ (Melayu) dan Nesie (Pulau).
Pada tahun 1835 nama tersebut telah diterjemahkan oleh Thomas G, Bradford seorang warga Amerika Syarikat sebagai Malaysia dan telah digunakan pada peta yang dilakarkannya. Semenjak itu, nama Malaysia telah diterima pakai dalam konsep Geografi.
Bapa Kemerdekaan, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah memilih nama Malaysia bagi merujuk titik persamaan yang ada antara warga peribumi di Tanah Melayu dan Borneo iaitu orang Melayu dan peribumi Sabah serta Sarawak adalah daripada etnik rumpun yang sama.
Kini, sambutan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Kemerdekaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September) telah mula dilaksanakan secara rasmi semenjak tahun 2010. Setelah 61 tahun berlalu, negeri Sabah dan Sarawak di bumi Borneo semakin pesat maju dan berkembang seiring dengan peredaran masa.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Norazlinda Mohammad, sambutan Hari Malaysia pada 16 September adalah hari yang signifikan bagi seluruh rakyat untuk memperingati usaha pemimpin serta rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.
“Hari Malaysia memberikan makna yang cukup besar kepada rakyat kerana ia adalah detik penting dalam menyatukan rakyat di ketiga-tiga wilayah pada ketika itu.
“Peristiwa ini sangat relevan, signifikan dan dikenang selain menyambut Hari Merdeka kerana peristiwa bersejarah itu disaksikan seramai 30,000 rakyat di Stadium Merdeka. Inilah peristiwa yang termaktub bagi pemimpin serta rakyat dari tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak apabila bersetuju untuk hidup bersatu sebagai sebuah negara juga bangsa.
“Pepatah Melayu ada mengatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Sesungguhnya, rahmat keamanan dan kesejahteraan perlu dirasai seluruh rakyat yang merangkumi seramai 34.1 juta ini bagi menyemai semangat kebangsaan, nasionalisme dan patriotisme dengan mengekalkan perpaduan serta kestabilan agar negara tidak goyah malah terus berkekalan demi memenuhi harapan semua.
“Wahai rakyat Malaysia, suburkan semangat cintakan tanah air dan nyalakan obor kemerdekaan di hati agar negara Malaysia tetap berdiri megah di mata dunia dengan masyarakat majmuk yang mengamalkan sikap toleransi meskipun mempunyai pelbagai fahaman, warna-warna kehidupan, etnik, budaya, agama dan bangsa berbeza namun tetap teguh sama-sama memelihara kemakmuran negara.
“Itulah definisi perpaduan, membentuk negara persekutuan yang damai, permai tanpa sengketa. Hari Malaysia diraikan megah pada setiap tahun bagi menyemarakkan perpaduan di negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata kemajuan pembangunan dan ledakan teknologi sama-sama dinikmati bukan sahaja di Semenanjung bahkan di Sabah dan Sarawak.
“Oleh yang demikian, jauhkan pemikiran etnosentrik yang jumud atau sifat kenegerian kerana ia bukan sahaja merugikan malah boleh mencetus implikasi perbalahan dan pertumpahan darah. Hentikan menghina, mempersenda atau memperlekeh sesama sendiri bagi membentuk dan mengekalkan persefahaman yang baik dan sudah tercipta selama ini.
“Justeru itu, selain Rukun Negara, bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan di dalam menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia demi keharmonian dan kedaulatan negara.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menekankan konsep Malaysia MADANI yang berteraskan kepada enam nilai utama iaitu keMampanan, keSejahteraan, Daya cipta, Hormat, keYakinan dan Ihsan,” ujarnya.
Norazlinda berkata gagasan Malaysia MADANI ialah konsep yang berteraskan nilai-nilai murni dan kemanusiaan yang harus didukung serta diamalkan bukan hanya pada pemimpin negara tetapi juga disemai dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.
“Umumnya, dasar Malaysia MADANI telah dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari di Putrajaya. Gagasan ini juga menterjemahkan niat dan hasrat Perdana Menteri di dalam mentadbir urus negara ke arah keadilan, kebaikan, bersatu padu, maju dan sejahtera di dalam memacu pembangunan negara Malaysia.
“Bak kata pepatah Melayu, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Malaysia sememangnya istimewa kerana kita mempunyai pelbagai bahasa, bangsa, kaum, agama, etnik dan pelbagai budaya yang berbeza.
“Ia merangkumi seluruh rakyat dari Semenanjung hinggalah kepada Orang Asli dari Sabah dan Sarawak yang mempunyai harapan serta masa depan yang sama, membina negara Malaysia yang aman sejahtera, saling berganding bahu memupuk kebersamaan, bersatu, harmoni serta berdaulat,” ujarnya.
ELAK SENTIMEN 3R
USAHA memupuk integrasi nasional perlu berpanjangan demi meningkatkan persefahaman yang baik, jitu dan meningkatkan kesepaduan dengan meraikan perbezaan serta kepelbagaian namun tetap bersatu dan harmoni di bawah naungan dan pegangan yang sama iaitu berpaksi kepada gagasan Malaysia MADANI.
Norazlinda berkata masyarakat perlu ketepikan perbezaan pendapat, ideologi dan elakkan bermain dengan sentimen 3R iaitu mempersoalkan kedaulatan raja, kaum dan agama yang sememangnya akan mencetuskan ketegangan kaum, pertelingkahan serta mengancam keamanan juga perpaduan rakyat.
“Bahkan, perlu dipastikan maruah negara terpelihara, bukan sahaja dipandang mulia oleh negara luar tetapi juga sebagai pemangkin ekonomi dan melestarikan perhubungan antarabangsa.
“Sifat saling menghormati seperti yang digariskan di dalam Malaysia MADANI perlu diterapkan oleh rakyat Malaysia demi membina keyakinan dan kesejahteraan bukan sahaja dalam kalangan penduduk negara ini malah juga di mata pelabur serta pelancong asing. Langkah ini sekali gus dapat memelihara kestabilan politik, sosial, ekonomi dan menjana pendapatan negara,” ujarnya.
Di samping itu, beliau berkata jati diri harus diperkukuh demi melawan bahaya pengaruh luar di era globalisasi yang mencabar dan boleh merosakkan identiti diri kita sebagai Saya anak Malaysia.
“Pastikan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, Malaysia MADANI kerana dengan gagasan ini membantu memperkasa perpaduan, membina negara bangsa yang perkasa, harmoni dan berdaulat,” ujarnya. – WILAYAHKU