Berita

Nuriman Craft ketengah produk kraf berasaskan alam semula jadi

NORA'IN menunjukkan koleks Nuriman Craft yang dihasilkannya.
- Diterbit 14 Julai 2023 6:23 AM MYT

KONSEP botanical printing atau seni olah daun berasaskan tumbuhan alam semula jadi semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan pada hari ini.

Menurut pengusaha Nuriman Craft, Nora’in Mat Rodzia atau Banie antara koleksi yang dihasilkan menggunakan konsep tersebut terdiri daripada blouse,
tudung, beg, getah rambut termasuklah barangan seramik dan cawan.

“Kita menggunakan teknik kukus (eco print) tertentu untuk mencorakkan kain bewarna putih dengan bahanbahan daripada alam semula jadi seperti daun, bunga serta pewarna dari kulit kayu yang boleh dijadikan warna serta corak.

“Bunyinya mungkin mudah namun proses penghasilan untuk proses pembuatan pakaian misalnya, untuk Nuriman Craft ketengah produk kraf berasaskan alam semula jadi sehelai kain sahaja boleh memakan masa selama dua minggu untuk disiapkan.

“Ia melibatkan teknik scouring iaitu kain yang hendak dicorakkan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dikeringkan (mordant) untuk membuka
serat kain supaya boleh menerima warna dari daun dan alam semula jadi.

“Setelah kering, kita susun daun tersebut mengikut kreativiti masingmasing sebelum ia dikukus selama dua jam supaya warna dari daun dan blanket dapat turun ke kain utama dengan sempurna.

NOR’AIN mesra melayan pelanggan yang berkunjung di reruainya pada MUN dan Minggu PMKS 2023.

“Ia juga perlu dibiarkan tersidai selama tujuh hingga 14 hari sebelum dibasuh untuk dijual kepada pelanggan,” kongsinya kepada Wilayahku.

Dia yang mengusahakan perniagaan bersama suami, Khairul Ehsan Kamaruddin berkata proses pengambilan daun adalah antara cabaran yang perlu dihadapinya untuk menghasilkan produk ini.

“Apabila ingin menghasilkan rekaan, daun tidak boleh diambil ketika waktu hujan dan tengah hari. Jika diambil pada kedua-dua waktu tersebut berkemungkinan coraknya tidak akan jelas, jejak akan menjadi kembang atau mungkin tidak keluar jejak langsung biarpun sudah dikukus.

“Sekiranya corak tersebut tidak keluar, tidak perlu ulang proses dari awal tetapi kita buat proses yang sama untuk kali kedua sehinggalah keluar jejak atau corak pada kain tersebut,” jelasnya yang turut dibantu suami ketika proses pembersihan dan pengukusan kain.

Ditanya mengenai penerimaan pelanggan, Banie berkata rata-ratanya agak teruja melihat produk yang dihasilkan menggunakan bahan alam  semula jadi.

“Saya faham situasi tersebut berlaku kerana benda ini baru diperkenalkan jadi langkah yang kita ambil adalah melakukan demonstrasi apabila terlibat dalam setiap majlis atau pameran,” ujarnya berpuas hati dengan maklum balas pelanggan.

HARAP KERJASAMA AGENSI KERAJAAN, SWASTA

Diusahakan sejak tahun 2021, Banie dan suaminya tekad mahu memperluaskan perniagaan ke pasaran tempatan dan antarabangsa kerana masih ramai yang kurang mengetahui tentang teknik yang digunakan.

“Kita juga harapkan kerjasama daripada pelbagai pihak khususnya kementerian, agensi kerajaan dan swasta untuk memberi sokongan terhadap karya-karya usahawan tempatan.

“Saya memasang impian agar setiap produk yang dihasilkan mampu menembusi pasaran tempatan mahupun antarabangsa sedikit masa sahaja lagi,” katanya. – WILAYAHKU 

 

 

 

 

 

INFOGRAFIK

Produk: Bag, t-shirt, selendang, tudung bawal, kain pasang berasaskan sumber alam

Alamat: Perumahan Awam Seri Perlis 2, Dato Keramat, Kuala Lumpur

Hubungi: 014-3749 257 (Banie) atau 011-6383 1928 (Ehsan)

Sosial Media :

Instagram – @nurimancraft
TikTok – @lantanasignature
Facebook – nurimancraft

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas