Berita

Nur-ul Afida Kamaludin, wanita pertama sandang Ketua Pengarang Bernama

Ketua Pengarang (KP), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Nur-ul Afida Kamaludin. Foto kredit: BERNAMA
- Diterbit 24 Oktober 2023 10:50 AM MYT

PERTUBUHAN Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengumumkan pelantikan Nur-ul Afida Kamaludin sebagai Ketua Pengarangnya yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu mencatat sejarah apabila Nur-ul Afida, 56, menjadi wanita pertama memegang jawatan penting dalam agensi itu, yang ditubuhkan pada tahun 1967.

Nur-ul Afida mengambil alih jawatan itu daripada Jamaluddin Muhammad yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula 19 Okt lepas.

Jamaluddin berkata Nur-ul Afida mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, yang disandang sejak Jun tahun ini.

Beliau yang sebelum ini pernah menjadi Ketua Perancangan Strategik Bernama, berkhidmat di agensi ini selama 38 tahun sejak 1985.

Beliau juga pernah bertugas di pelbagai bahagian serta unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik, selain menjadi tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas