PELAJAR tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai, Labuan Nur Allya Mardiana Jairin dinobat sebagai johan pertandingan U Got Talent Karnival Jom Masuk U Zon Sabah yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Dia bersaing bersama 14 peserta solo dan berkumpulan di peringkat akhir yang menunjukkan bakat masing-masing dalam nyanyian dan tarian.
Nur Allya mempersembahkan lagu berjudul Semalam yang dipopularkan oleh penyanyi Aina Abdul dan berjaya menewaskan 14 peserta dari seluruh Sabah.
Kemenangan tersebut membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan.
Sebelum ini, Nur Allya terpilih sebagai penyanyi utama dalam Konsert DiRaja Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan membuat persembahan di hadapan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2023.
Ternyata kejayaannya dalam bidang nyanyian telah mengharumkan nama Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan SMK Pantai di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah berkata pihak sekolah menggalakkan dan memberi sokongan kepada penglibatan Nur Allya sehingga ke peringkat tertinggi.
“Syabas dan tahniah serta terima kasih mengharumkan nama WP Labuan dan SMK Pantai,” ujar beliau berharap kejayaan tersebut dapat menaikkan semangat pelajar lain. – WILAYAHKU