Berita

NSFC berazam kekal terajui Liga Premier

- Diterbit 19 April 2021 3:20 AM MYT

KEBANGKITAN Negeri Sembilan FC (NSFC) atas kemenangan menentang Kelantan FC semalam menyuntik semangat pasukan untuk kekal menerajui Liga Premier musim ini.

Ketua Jurulatih K. Devan menyifatkan prestasi yang ditampilkan anak buahnya dalam beberapa  perlawanan semakin matang walaupun terdapat kekurangan di barisan hadapan yang masih perlu penambahbaikan.

NSFC mengatasi Kelantan FC 2-1 dalam aksi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam melalui dua jaringan kapten pasukan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

“Jaringan gol cantik daripada kapten pasukan Mohd Zaquan Adha  pada awal permainan memberikan motivasi terbaik untuk pasukan dalam menguasai perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.

Beliau berkata kemenangan itu juga menebus kekecewaan pasukan yang tersentak dengan kekalahan pertama menentang Kelantan United FC 2-3 di laman sendiri, minggu lepas.

Devan menyifatkan kebangkitkan pasukannya malam tadi memberikan motivasi terbaik untuk turun berdepan seterunya, Sarawak United FC pada 24 April ini.

Katanya Sarawak United FC merupakan pencabar utama dan pasukannya harus bermain habis-habisan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai pendahulu liga.

Setakat lapan perlawanan musim ini, NSFC mendahului kedudukan Liga Premier dengan mengutip 17 mata iaitu kelebihan hanya satu mata berbanding Sarawak United selepas mengharungi tujuh perlawanan. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas