BAGI meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan pengurusan e-waste, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) merangka pelan Communication, Education and Public Awareness (CEPA) bagi menyebarluas kepentingan pengurusan, meningkatkan lagi kesedaran orang awam serta merancakkan aktiviti pengumpulan e-waste secara mesra alam.
Menurut NRES, pelbagai inisiatif telah diambil oleh JAS untuk memastikan pengurusan e-waste secara lestari. Antaranya adalah dengan mengadakan Hari Pengumpulan E-waste pada setiap hari Sabtu terakhir setiap bulan.
“Selain itu, penubuhan pusat-pusat pengumpulan yang baharu di seluruh
Negara; pembangunan aplikasi mudah alih MyEwaste yang boleh dimuat
turun di Apple Apps Store; pembangunan laman sesawang e-waste
(https://ewaste.doe.gov.my) dan program-program kesedaran dengan menggunakan platform media sosial dan sebagainya.
“Inisiatif yang diperkenalkan oleh JAS ini dapat memberi pengetahuan
dan maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat mengenai kepentingan
pengurusan e-waste serta memudahkan capaian orang awam kepada
pusat-pusat pengumpulan yang berhampiran,” katanya dalam jawapan bertulis.
NRES menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol berkenaan tindakan kerajaan untuk menangani masalah e-waste yang
dijangka akan mencecah sebanyak 24.504 juta unit menjelang tahun
2025 ketimbang 17.065 juta unit pada tahun 2020.
Tambah kementerian itu, Mekanisme Pengurusan E-Waste juga sedang dibangunkan bertujuan untuk memastikan pengurusan,
pengendalian dan pelupusan e-waste yang dihasilkan oleh pengguna
dilaksanakan secara Environmentally Sound Management (ESM) atau
mesra alam.
“Fasa pertama e-waste yang bakal dikawal adalah enam item
peralatan elektrik dan elektronik iaitu televisyen, komputer/ laptop, mesin basuh, pendingin hawa, telefon bimbit dan peti sejuk.
“Mekanisme ini menerapkan konsep Extended Producer Responsibility yang mana pihak pengeluar adalah bertanggungjawab untuk
memastikan produk yang dihasilkan diuruskan secara mesra alam apabila
ianya telah mencapai jangka hayat akhir (end of life),” jelasnya.
Sebagai rekod, jumlah pengumpulan e-waste yang berjaya dikumpul sejak dari tahun 2014 hingga 2023 adalah sebanyak 147 MT hingga 2,657 MT.
Data tersebut menunjukkan bahawa kesedaran berkaitan pengurusan e-waste dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi rendah. – WILAYAHKU