BAGI penggemar filem ikonik Papadom, rindu pasti terubat apabila karya ulung tersebut boleh didapati dalam bentuk novel menerusi cetakan eksklusif yang baru sahaja dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 baru-baru ini.
Pengarah dan penerbit filem tersebut, Datuk Afdlin Shauki berkata, Papadom menjadi pilihan pertama untuk diabadikan dalam bentuk novel kerana kisah tersebut mempunyai nilai sentimental dan amat peribadi.
“Sebenarnya nak tulis novel ni dah lama tapi tak ada masa. Alhamdulillah, tahun lepas saya ada masa lapang sedikit untuk duduk dan tengok balik skrip filem untuk dijadikan novel.
“Jadi saya fikir, apabila saya bagi orang baca novel Papadom, mereka boleh main filem Papadom itu dalam kepala mereka sendiri sebagaimana mereka nak mainkan. Mungkin watak bapa dalam novel itu dia akan membayangkan bapanya. Setiap orang mempunyai idea kreatif masing-masing,” katanya.
Afdlin yang membawa watak seorang bapa bernama Saadom dalam filem Papadom mengaku terharu apabila mesej dalam filem tersebut sampai dan lekat di hati penonton sehingga ke hari ini.
“Dulu ketika filem ini mula-mula ditayangkan, saya menerima banyak komen. Antaranya adalah komen daripada penonton anak dan ayah yang menonton filem itu bersama-sama.
“Anak ini beritahu, ayah dia tak pernah peluk dia tapi selepas menonton Papadom, bapa dia peluk dia. Si bapa pula menangis peluk saya. Dia kata Papadom mengingatkan dia tentang anak dan isterinya. Sebenarnya benda seperti inilah yang sangat berharga buat pembikin filem,” ujarnya.
Menurut Afdlin, watak Saadom dalam novel Papadom ini sangat dekat dengan masyarakat dan mewakili bapa-bapa yang sentiasa berada dalam dilema.
“Kita selalu membandingkan hubungan kita dengan apa yang kita tengok dalam filem. Kalau kita dekat dengan filem tersebut, itu yang membuatkan kita sokong filem itu. Dalam filem atau novel ini, heronya adalah Saadom. Perjalanan hidup Saadom, ramai bapa sepertinya, bekerja keras untuk keluarga dan kerja tak tentu masa.
“Dia nak yang terbaik untuk keluarga tapi tak jumpa keluarga, tak sempat habiskan masa bersama keluarga. Padahal dia sangat sayangkan keluarganya,” ujar Afdlin.
Tambahnya dilema seperti itu paling banyak dihadapi oleh seorang bapa di Malaysia memandangkan mereka sentiasa ingin pastikan apa sahaja yang terbaik buat anak-anak namun di sebalik itu mereka tidak dapat menghabiskan masa bersama.
“Lama-kelamaan hubungan dengan anak menjadi renggang. Jadi saya melihat novel Papadom ini mempunyai kepentingan besar dalam masyarakat,” ujarnya lagi.
Ceritanya lagi, peranan isteri yang sentiasa menyokong suami juga amatlah penting dalam sesebuah keluarga. Dek kerana itu pengalamannya yang diterjemahkan menerusi watak Saadom ini boleh dijadikan panduan buat para bapa luar sana.
“Saya ni dulu seorang yang suka bekerja, kerja tak pernah berhenti demi mencari nafkah untuk keluarga. Iyalah, saya berasal dari keluarga susah. Ibu bapa saya orang susah. Saya generasi pertama bagi arwah ibu, arwah bapa hidup selesa dan juga keluarga. Begitu juga saya mahu buat keluarga yang saya bina ini hidup selesa.
“Papadom ini bukan pasal saya sahaja, tetapi juga bapa-bapa di luar sana. Kita buat semua ini untuk keluarga kita tapi tak jumpa keluarga. Akhirnya ada kerenggangan berlaku antara mereka dan keluarga,” katanya.
Mamadom ke layar perak
Afdlin juga turut berharap agar bapa-bapa di luar sana tidak melupakan jasa dan pengorbanan seorang isteri.
“Satu ketika dulu saya bercuti bersama keluarga di Melaka. Saya tengah main scrabble dengan wife saya. Kemudian saya pandang dia, dalam hati berkata, kalau dia ni tak ada, tunggang terbalik hidup saya.
“Saya tahu pergi kerja dan balik. Pergi kerja, anak dah keluar pergi ke sekolah. Apabila balik dari kerja anak dah tidur. Jadi bila masanya nak berjumpa anak? Ini untuk bapa-bapa yang macam tu, saya syorkan bacalah buku ini atau tengoklah filem Papadom.
“Apa berlaku jika isteri tidak ada, saya zahirkan dalam Papadom. Filem itu sangat dekat saya. Itu yang membuatkan juri-juri dan mereka yang menonton turut merasainya. Filem itu betul-betul bercakap tentang apa yang saya takut dan novel ini macam
mana kehidupan Saadom apabila isteri dia meninggal dunia,” ulasnya.
Papadom telah menerima 10 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-22, memenangi lima anugerah termasuk Filem Terbaik sekali gus memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM100,000. Filem ini juga menerima tujuh pencalonan di Anugerah Skrin 2010.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi YWP Media Sdn Bhd berkata trilogi filem itu akan menemui peminat dengan judul Mamadom yang dijadualkan memulakan penggambaran tahun depan.
“Mamadom akan memperlihatkan transisi anak kepada Saadom pula yang sudah menjadi ibu dan mempunyai anak serta berdepan dengan kisah kehidupannya pula.
“Saya juga berharap agar dapat mengekalkan pelakon yang sama namun semua akan dimuktamadkan kemudian,” katanya.
Sebelum memulakan penggambaran filem Mamadom, Afdlin akan muncul dalam filem arahannya iaitu Harimau Malaya yang bakal ditayangkan Julai ini dan Baik Punya Along yang dibintangi oleh Johan dan Zizan pada September ini. – WILAYAHKU