Artikel

Nostalgia era kafe siber

SATU ketika dahulu kafe siber memberikan pulangan yang agak besar berbanding kafe biasa. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Disember 2024 3:53 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSEIN

SIAPA yang pernah menjadi pengunjung kafe siber akhir tahun 1990-an lalu angkat tangan? Sudah tentu mereka yang berkenaan kini menjengah usia setengah abad. Menariknya mereka telah menyaksikan perubahan pesat yang berlaku dalam bidang teknologi komunikasi – daripada komputer meja kepada telefon pintar. Daripada Internet yang perlahan kepada berkelajuan tinggi hari ini.

Ketika zaman awal itu Internet menjadi satu istilah baharu yang diulang sebut oleh banyak pihak sekalipun tidak semuanya faham tentang hal yang sebenar. Lebih kurang sama seperti keghairahan banyak pihak masa ini yang bercakap mengenai AI atau kecerdasan buatan. Semua perkara hendak dikaitkan dengan AI.

Seolah-olahnya tidak sebut AI membawa pengertian tidak maju atau tidak bergerak selari dengan zaman. Banyak ucapan para pembesar pula seboleh-bolehnya ada terselit perkataan AI sekalipun di luar konteks sama sekali. Begitulah gambaran zaman awal Internet dulu.

Ketika Internet mula diperkenalkan di negara ini, komputer yang merupakan perkakas utama. Tetapi tidak banyak yang mampu memiliki komputer yang monitornya berbonjol panjang di belakang. Kalau mampu sekalipun, kelajuan Internet ketika itu amat rendah – perlahan macam kura-kura.

Internet dan komputer muncul sebagai suatu yang semakin penting dalam kehidupan masyarakat. Perkembangan itu membawa perubahan signifikan dalam bidang komunikasi dan maklumat. Malah seolah-olah macam mimpi apabila laman sesawang menjadi jaringan menghubungkan segenap pelosok dunia.

Bagaimanapun peluang sebahagian besar dalam kalangan masyarakat untuk mengakses Internet amat terhad disebabkan komputer merupakan barang mewah. Kalau dibandingkan harga komputer meja atau komputer riba sekarang jauh lebih murah dengan teknologinya yang jauh di depan.

Dalam keadaan seperti itulah lahir idea kreatif iaitu mengusahakan pusat yang menyediakan perkhidmatan untuk menggunakan komputer yang tersedia talian Internet. Perkhidmatan itu dinamakan kafe siber yang diterjemah daripada cyber cafe di luar negara.

Ketika itu kafe siber memberikan pulangan yang agak besar berbanding kafe biasa yang remehnya berganda. Bukan mudah untuk menyediakan masakan – terlebih rugi, kalau tidak cukup pula kecil untungnya. Tetapi hal seperti itu tidak berlaku di kafe siber.

Malah kafe siber itu pun bukan kafe sebenarnya, tidak dijual minuman atau makanan. Di luar negara konsep kafe siber memang adalah kafe. Seperti kafe buku (book cafe) memang ada buku di ruang kafenya. Bagaimanapun kafe siber kita hanya penuh dengan bungkah-bungkah komputer sahaja.

Lalu berduyun-duyunlah meneroka peluang sebagai operator kafe siber terutama di Kuala Lumpur. Sambutan yang menggalakkan terutama dalam kalangan remaja menjadikan kafe siber satu bidang yang dilihat secara luaran menjadi pemangkin pada literasi komputer dan Internet.

Saya hanya ada pengalaman beberapa kali menggunakan khidmat kafe siber disebabkan sistem Internet dan komputer sudah tersedia di pejabat. Saya mendapati ada sesetengah kafe siber kurang menitikberatkan keselesaan – ruang sempit dan sesak antara manusia dan komputer.

Ketika zaman kemuncak kafe siber, ada beberapa kelab dangdut yang sebelum itu menjadi fenomena di Kuala Lumpur sudah beralih menjadi kafe siber. Barangkali peminat dangdut pun sudah letih menari dengan kelab dangdut dan ia menyusut sedikit demi sedikit.

Maka kelab dangdut yang dulunya banyak dikunjungi oleh dalam kalangan pesara atau golongan veteran berbaju batik dan berseluar putih menjadi semakin sepi. Akhirnya beberapa kelab dangdut diubah suai menjadi kafe siber yang banyak dikunjungi oleh kalangan orang muda.

 

JADI FENOMENA

Sebelum terlupa, perlu disebutkan juga bahawa itulah zaman awal kemunculan surat eletronik atau e-mel. Seingat saya server e-mel yang paling popular ketika itu adalah Hotmail. Kalau ada akaun Hotmail dikira hebatlah. Bagaimanapun sektor awam dan swasta masih menggunakan surat fizikal dalam urusan harian.

Mereka yang mempunyai akaun e-mel itulah yang menjadi sebahagian besar pelanggan kafe siber. Di mana lagi hendak menghantar atau membaca e-mel kalau bukan kafe siber? Di pejabat tidak semua orang boleh mengakses Internet kecuali yang berpangkat tinggi.

Ketika itu juga muncul banyak saluran berbual secara siber yang disebut ‘chatting’. Itulah mulanya perbualan secara langsung menggunakan teks dengan individu yang entah di mana duduknya. Tidak pernah terbayang wujudnya teknologi berbual secara langsung menggunakan teks.

Kafe siber juga menjadi pemangkin mencari jodoh kerana komputer yang ada talian Internet membolehkan pelanggan melayari saluran-saluran bual siber. Malah itulah antara tarikan utama sesetengah individu yang memerap berjam-jam dalam keadaan samar-samar di kafe siber.

Kalau sebelum itu banyak yang bertemu jodoh di halaman Kembang Setaman di majalah URTV, tetapi akhir tahun 1990-an banyak bertemu di kafe siber. Mereka bertemu secara maya di saluran-saluran bual siber yang amat mengasyikkan. Malah jauh lebih interaktif berbanding halaman Kembang Setaman.

Sementara remaja yang masih bersekolah pula lebih cenderung melayari laman-laman yang menyediakan permainan yang lebih interaktif sifatnya. Amat sedikit yang menggunakan kafe siber untuk mencari maklumat sekalipun peluang itu tersedia di depan mata.

Sebab itulah banyak kafe siber yang amat bingit suasananya kerana pelanggan remaja melayari laman permainan. Bunyi senapang yang membertih, bom dan sebagainya yang menjadikan kafe siber tempat remaja membuang masa. Malah ada yang ponteng sekolah dan memerap di kafe siber.

Di kafe siber, secara umumnya ada dua golongan. Pertama golongan remaja yang gemar permainan siber dan bual siber, sementara golongan yang lebih berusia tersengih seorang diri di depan komputer melayan rakan bualnya secara maya. Masa terbuang tanpa dirasa kerana leka berbual dengan menggunakan teknologi baharu bernama Internet.

Sekalipun secara luaran tumbuhnya kafe siber bagaikan cendawan musim hujan itu dilihat sebagai ekosistem yang meningkatkan kadar literasi Internet dan komputer, hakikat adalah di sebaliknya. Tidak banyak yang boleh dilihat sebagai menjurus pada peningkatan kadar literasi teknologi maklumat.

Kafe siber hanya memenuhi tuntutan masyarakat daripada gelembung teknologi maklumat dengan adanya Internet. Malah merupakan satu bentuk perniagaan menyediakan ruang eskapisme dan keseronokan – tidak kira kepada remaja atau yang lebih berusia.

Akhirnya teknologi jugalah yang menggantikan teknologi. Kini teknologi juga yang menjadikan dunia di tergenggam di telapak tangan kita. Telefon pintar adalah segala-galanya.

Teknologi di kafe siber sudah menjadi barang ‘purba’ dan generasi Milenial tidak dapat membayangkan kepurbaan kafe siber. Bagaimanapun tanpa ilmu, kita terus menjadi pengguna yang pasif dan kerap dimangsai oleh teknologi.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas