SELURUH umat Islam mesti bersuara atas kapasiti yang ada dalam menentang sebarang bentuk promosi kepada maksiat khususnya melibatkan pesalah seks.
Pendakwah dan pakar motivasi, Ustaz Ahmad Shukri Yusoff menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menormalisasikan maksiat berunsur penzinaan harus ditentang keras kerana ia merupakan dosa besar dan di sisi Islam.
“Sudah pasti kita perlu pandang bahawa ia adalah perkara yang serius, tidak boleh ambil mudah dan memandang ringan mengenai perkara ini.
“Pihak berkuasa mesti bertindak tegas berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada disebabkan isu ini melakukan maksiat secara terang-terangan dan kemudian berbangga dengan perkara tersebut malah dilihat mempromosikan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Shukri berkata umat Islam perlu mempunyai rasa malu dengan perlakuan maksiat walaupun sekadar menonton program bual bicara yang menampilkan individu berkenaan.
“Dalam hal ini, kita difahamkan siaran secara live itu ditonton oleh ribuan orang dan ia dilihat seolah-oleh memberikan semangat serta sokongan kepada individu berkenaan yang jelas telah melakukan penzinaan.
“Malah kita lihat respon daripada penonton yang turut meninggalkan komen yang menyokong sekali gus menunjukkan seolah-olah ada yang tidak kena dengan masyarakat khususnya orang Islam pada hari ini dan ia perlu diperbetulkan,” katanya.
Jelas Ahmad Shukri umat Islam berdepan cabaran melalui penggunaan media sosial yang tidak terkawal sehingga dilihat tidak sensitif dengan perkara-perkara yang mendatangkan fitnah kepada Islam.
“Ini yang kita sebut bila penggunaan media sosial secara meluas ini akan timbul dua perkara iaitu jika dimanfaatkan dengan cara yang betul akan mendatangkan kebaikan, sebaliknya jika digunakan untuk tujuan yang buruk maka akan dirosakkan.
“Ia juga dapat dilihat termasuklah memberi respon, mengulas yang jelas perkara maksiat itu dilihat bukan satu kesalahan atau mungkin dalam bentuk satu gurauan dan mungkin kita baca macam beri semangat seolah-olah individu itu tertindas dan dizalimi.
“Menerusi komen yang dimuat naik itu, ini yang dikatakan seolah-olah berlaku hilangnya perasaan malu seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW, jika kamu sudah tidak berasa malu, maka buatlah apa yang kamu buat dan itu adalah satu teguran yang keras daripada Nabi Muhammad SAW,” ujar beliau.
Justeru itu, kata Ahmad Shukri, umat Islam tidak boleh berdiam diri atau buat tidak tahu dan minta pihak lain untuk berbincang mengenai perkara ini.
“Penguatkuasaan undang-undang perlu bertindak untuk menangani masalah ini dan pada masa sama semua pihak perlu bersuara mengenai perkara ini termasuklah ibu bapa, pemimpin masyarakat, ulama, pihak berkuasa agama dan sesiapa sahaja mesti bersuara lantang.
“Bagi saya setiap orang mesti melihat isu ini sebagai perkara yang besar dan masyarakat kita perlu diberi pendidikan yang berterusan agar tidak menjadi barah untuk umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri menyambut baik usaha kerajaan untuk mewujudkan satu peraturan bagi mengawasi program bual bicara agar kandungan yang seumpama ini tidak berulang di masa akan datang.
“Paling utama peraturan dan peruntukan undang-undang yang ada ini tidak boleh menyekat kebebasan bersuara, namun untuk perkara yang melibatkan sensitiviti umat Islam mestilah dipelihara,” katanya.
Terdahulu, sebuah laman web penstriman menjemput individu yang terlibat dalam aktiviti persundalan sebagai tetamu jemputan dalam siaran podcast mereka. – WILAYAHKU