SEBAGAI usaha untuk memasyarakatkan semula seni tradisional, Ratu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Noraniza Idris bakal menganjurkan Konsert Eh Raya 2025 pada 26 April depan bertempat di Summit USJ.
Konsert yang dibawakan secara percuma itu bukan sekadar sebuah persembahan nyanyian lagu raya semata-mata, tetapi pelbagai aktiviti menarik membabitkan seni dan budaya akan dianjurkan sepanjang hari di pusat membeli-belah berkenaan.
Antaranya Bengkel Zapin & Ronggeng Selangor, pertandingan tarian kreatif serta aktiviti budaya lain seperti Rewang Raya, Malam 7 Likur, Pagi 1 Syawal dan perarakan makanan warisan Bugis.
Konsert itu juga bukan sekadar persembahan muzik, tetapi bakal membawa penonton menyusuri pengalaman rumah terbuka Hari Raya dalam bentuk sketsa, tarian dan nyanyian.
Noraniza Idris, yang akan memegang watak utama sebagai Che Ani, akan mengacarakan persembahan selama dua jam itu bersama Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah.
Berkongsi mengenai perancangan penganjuran konsert itu, kata Noraniza, idea menganjurkan acara itu tercetus pada Januari lalu.
“Kalau nak mengadakan konsert berbayar, kosnya pasti melambung.
“Tapi atas niat untuk memberi semula kepada komuniti jadi saya mengambil insiatif mengadakan konsert percuma ini tetapi kita bekerjasama dengan banyak pihak kerana untuk anjurkan sendiri memang kami tak mampu.
“Ia bukanlah semata-mata konsert tetapi kita juga ada sketsa hiburan dan pelbagai aktiviti lain,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media di USJ Summit, semalam.
Menurut Noraniza lagi, objektif program itu diadakan adalah supaya pengunjung yang berkunjung ke pusat membeli-belah itu boleh melihat keunikan sambutan Aidilfitri.
“Kami mahu masyarakat bangsa lain mengenali apa itu hari raya, kebudayaan dan juadah-juadah yang ada.
“Selain itu, generasi muda yang mungkin tidak tahu apa itu malam tujuh lekor mungkin dapat belajar sesuatu yang baru sebab itu kami memilih mengadakan acara ini di tempat terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, penganjur bersama Konsert Eh Raya 2025, NIPV Management iaitu Jeffri Iman Hoodi, pihaknya menjangkakan lebih 5,000 pengunjung membanjiri acara itu.
“Objektif kami adalah untuk menghidupkan suasana Aidilfitri dalam bentuk hiburan yang mesra keluarga, tradisional tetapi moden dan terbuka untuk semua lapisan masyarakat.
“Acara ini bermatlamat untuk mengembangkan seni budaya dalam kalangan generasi pelapis selain mengangkat semula seni budaya kita yang semakin dilupakan,” katanya.
Majlis pelancaran rasmi akan disempurnakan Penaung Noraniza Idris Dance Academy (NIDA) Tengku Datuk Dr.Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman AlHaj .
Konsert EH RAYA 2025 dianjurkan dengan kerjasama Summit USJ selaku penaja lokasi, Tourism Selangor sebagai penyokong promosi negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penaja hadiah serta Persatuan Tatihseni Malaysia, CHE ANI PREMIUM, NAJAH dan NIDA yang menjadi tulang belakang penganjuran keseluruhan acara ini.-WILAYAHKU