Berita

Nor Azam dilantik sebagai CEO Pernas

DATUK Nor Azam M. Taib
- Diterbit 14 April 2025 7:00 PM MYT

PERBADANAN Nasional Berhad (Pernas) mengumumkan pelantikan Datuk Nor Azam M. Taib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 14 April 2025.

Pernas dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Nor Azam membawa bersama pengalaman lebih 26 tahun di sektor perbankan dan kewangan.

“Beliau pernah berkhidmat di MBSB dan semasa di sana, telah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Perniagaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sehingga Jun 2024.

“Sepanjang perkhidmatannya di MBSB, beliau juga menerajui pelbagai inisiatif transformasi termasuk penstrukturan semula perbankan korporat dan runcit, pengenalan model cawangan baharu yang lebih mesra pelanggan, serta pelaksanaan projek digital seperti Virtual Branch, Digital Halal Hub dan Smart School Project.

“Selain itu, beliau juga berperanan penting dalam pengambilalihan Asian Finance Bank (AFB) dan transformasi MBSB menjadi bank komersial Islam sepenuhnya,” katanya.

DATUK Nor Azam M. Taib

Nor Azam juga pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Islam Malaysia Berhad, dengan tanggungjawab merangkumi strategi pembangunan perniagaan, pengurusan portfolio pelanggan korporat serta perancangan pertumbuhan sektor perbankan perniagaan.

Sebelum itu, beliau juga berkhidmat di beberapa institusi kewangan terkemuka termasuk Citibank, OCBC Bank, Arab Malaysia Bank dan Hong Leong Bank.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Datuk Nor Azam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pernas menandakan permulaan lembaran baharu bagi syarikat.

“Pengalaman luas serta kepakaran beliau diyakini mampu memperkukuh kedudukan Pernas dan melonjakkan pencapaiannya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas