BARU-BARU ini kecoh dalam media sosial apabila tular video yang menyatakan ramai pelajar tidak hadir ke sekolah kerana tiada duit belanja.
Berikutan itu, segelintir netizen mempertikaikan perjuangan atau usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan dan melabelkannya retorik semata-mata.
Bagi mereka, apa yang diperkatakan pihak kerajaan hanyalah omong kosong sekadar untuk ‘menyedapkan’ hati rakyat sahaja.
Nampaknya tanggapan tersebut salah kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serius dalam menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara tahun ini.
Anwar berkata selaras usaha pembasmian kemiskinan tegar, kerajaan juga akan meningkatkan prasarana untuk kemudahan rakyat.
Ia termasuk menjamin pembangunan infrastruktur pendidikan dan kemudahan kesihatan
“Kemiskinan tegar sekurang-kurangnya kita selesaikan dalam 10 negeri, akhir Julai, insya-Allah kita selesaikan.
“Sasaran menoktahkan kemiskinan tegar tapi kemiskinan relatif itu masih wujud dan mungkin ada nanti peninggalan (baki) dalam beberapa peratus kemiskinan tegar yang harus ditangani.
“Kemudian, prasarana-prasarana asas, menjamin mutu pendidikan, kemudahan kesihatan harus kita tingkatkan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mahu strategi baharu difikirkan bagi menghapuskan kartel, monopoli dan ketirisan seterusnya pulangan tersebut akan dapat disalurkan semula dalam bentuk bantuan kepada rakyat.
Anwar berkata Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan usaha menzahirkan hasrat Ekonomi MADANI.
“Ia termasuk pencapaian awal dalam beberapa badan penarafan yang secara tidak langsung menyumbang kepada hasrat tersebut,” ujar beliau. – WILAYAHKU