Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Nilai potensi anak seni sebelum pertikai

- Diterbit 28 Jun 2024 11:50 AM MYT

PENGARAH dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki berharap agar netizen menilai terlebih dahulu kebolehan atau potensi anak-anak seni sebelum mempertikaikan pelantikan mereka sebagai pakar dalam sesetengah bidang untuk pembelajaran di universiti.

Pengarah filem Papadom yang baru dilantik sebagai Profesor Adjung di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata pelantikan terbahagi kepada dua iaitu pelantikan akademik dan pelantikan adjung atau melibatkan pakar industri.

“Kadang-kadang terdapat pelajar yang hanya tahu akademik sahaja, apabila keluar ke dunia pekerjaan sebenar, mereka akan rasa sangat berbeza dengan apa yang dipelajari. Tak sama.

“Jadi apabila ada pakar industri berhubung dengan pakar akademik, barulah para pelajar dapat pembelajaran yang lebih holistik dan kita dapat lihat ia saling melengkapi,” katanya.

Terdahulu, netizen mempertikaikan pelantikan penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).

Tambah beliau, Siti Nurhaliza layak kerana pengalaman serta pencapaian belum boleh diganggu gugat oleh artis lain.

“Boleh tak kita cakap Datuk Seri Siti Nurhaliza pakar industri? Jawapannya adalah ya. Siti adalah  antara artis yang paling hebat di Malaysia di mana telah menerima pelbagai anugerah dalam dan

luar negara dan pencapaian dari segi kewangan, status, tambah pula beliau banyak membanggakan negara dan sebagainya.

“Kalau kita nak persoal lantikannya sebagai pakar dalam industri, saya rasa itu tak betul. Bagi saya, kalau seseorang artis itu sudah ada pengalaman dalam industri tak perlu nak persoalkan. Pemilihan itu dibuat bukannya mudah.

“Jika tak ada pengalaman tiba-tiba diangkat, mungkin mudah untuk orang perlekehkan. Tapi sekarang ini, orang yang melantik adalah golongan cerdik pandai di universiti yang ingin memberi pengiktirafan kepada pakar industri.

“Apa yang disedari oleh universiti-universiti adalah kena ada keseimbangan dalam akademik dan pengetahuan industri,” ujar beliau.

Beliau yang baru sahaja dilantik sebagai Profesor Adjung bagi tempoh 16 Jun 2024 hingga 15 Jun 2026 berharap agar anak-anak seni yang lain juga akan diberikan peluang sebegini suatu hari nanti.

“Saya berharap dan juga berterima kasih kepada semua universiti yang mula memandang pencapaian anak-anak seni dan menghargai mereka dengan lantikan-lantikan yang diberikan.

“Sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), saya sangat mengalu-alukan, iktiraflah mereka yang telah mencipta nama dan menaikkan nama negara supaya dapat dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar akademik kita,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas