Selera

Nikmati makanan tradisional negara gajah putih di Restoran Thai Beach

- Diterbit 2 November 2023 11:40 PM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

PULAU Labuan dikenali sebagai syurga makanan di mana lokasi ini amat popular dengan makanan laut yang segar dan murah berbanding tempat lain.

Antara restoran yang sering menjadi tumpuan kepada pengunjung dalam dan luar pulau ini adalah Restoran Thai Beach yang mengetengahkan masakan asli Thailand.

Terletak di Jalan Pesisiran Pantai Labuan Kampung Nagalang, lokasinya jauh dari kesesakan bandar namun ia terkenal kerana keenakan makanan laut dan suasana damai menghadap pantai.

Baru sahaja dibuka pada Oktober tahun lalu, Restoran Thai Beach menyajikan masakan Thailand serta minuman tradisional dari negara tersebut.

Tatkala melangkah ke restoran ini, pengunjung akan disambut dengan dua buah patung gajah gergasi dan seni tulisan Thailand yang akan membuat anda seolah-olah berada di negara tersebut.

Gabungan indah seni yang ada di restoran Thai Beach membuatkan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk memotret kenangan sambil menikmati hidangan yang menyelerakan.

Menurut Pengurusnya, Dylan Chua, perkara yang paling dititikberatkan adalah dari segi makanan yang dihidangkan kepada pengunjung. Disebabkan itu, mereka membawa khas lapan orang tukang masak dari Thailand yang mahir.

“Penubuhan restoran ini merupakan alternatif kepada penduduk tempatan dan pengunjung yang meminati hidangan dari negara gajah putih itu.

“Kami melihat peluang untuk menubuhkan restoran makanan ala Thai berikutan permintaan tinggi daripada penduduk tempatan dan pengunjung luar. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kami tidak menang tangan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Berkongsi lanjut, Dylan berkata pihaknya menawarkan pelbagai hidangan lazat seperti phad woon sen, nasi goreng nenes beserta aneka pilihan ikan antaranya siakap, tilapia, ikan merah dan ikan kerapu.

“Di sini kami menggunakan pes original daripada Thailand seperti pes tomyam, kari, minyak lada, udang kering, gula perang, phad thai dan sos ikan bagi mengekalkan rasa masakan Thai yang asli,” ujarnya hidangan Thailand biasanya disertai perahan limau nipis dan cili.

Tambahnya, pengunjung tidak perlu risau makanan laut yang dihidangkan tidak segar atau sebaliknya kerana bekalan yang diterima daripada nelayan sememangnya dijamin segar dari laut.

“Di sini juga mempunyai kemudahan fasiliti yang selesa antaranya boleh memuatkan 400 sehingga 500 pelanggan dalam satu-satu masa selain mempunyai 40 meja makan, ruang makan terbuka dan lima ruang makan peribadi (bilik) yang dilengkapi set karaoke.

DYLAN CHUA

“Setiap pelanggan yang datang bebas memilih tempat yang mereka inginkan namun bagi penggunaan ruang makan peribadi disarankan untuk menempah lebih awal.

“Kami juga turut menerima tempahan untuk sebarang majlis keraian seperti perkahwinan, sambutan hari lahir mahupun acara tertutup daripada agensi kerajaan mahupun swasta,” ujarnya lagi harga makanan dan lokasi untuk penganjuran sebarang majlis amat berpatutan. – WILAYAHKU

INFO:

Alamat: Thai Beach Restaurant, Kampung Nagalang, Wilayah Persekutuan Labuan
Facebook: Thai Beach Restaurant Labuan
Hubungi: 016-587 1313 (WhatsApp untuk tempahan)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas