Berita

Nik Nazmi tawar dicalon presiden KLFA

- Diterbit 9 Ogos 2024 2:00 AM MYT

 

MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan untuk menawarkan diri dicalonkan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau yang terkesan dengan kemelut yang melanda pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) mahu menyelamatkan daripada ‘tutup kedai’.

“Saya menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai presiden KLFA pada kongres (Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KLFA tahun ini.

“Saya juga telah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh-tokoh koperat, profesional, institusi kerajaan untuk bersama-sama wakil kelab gabungan untuk mengemudi KLFA,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa berkata demikian dalam satu hantaran video yang dikongsi di TikTok.

Menurut, Nik Nazmi yang merupakan Ahli Gabungan KLFA berkata berkata sebagai peminat setia KL City tindakan wajar perlu diambil.

Beliau berkata bersedia mendengar pandangan kelab-kelab gabungan dan juga penyokong KL City.

“Walaupun orang politik datang dan pergi KLFA, tetapi bukan populariti diraih. Amanah besar perlu diambil untuk kembalikan maruah dan kepercayaan peminat bola sepak KL City,” katanya.

Baru-baru ini, dilaporkan KL City berdepan risiko ‘tutup kedai’ atau hilang daripada radar saingan Liga Malaysia jika isu tunggakan tidak berjaya diselesaikan hingga hujung musim ini.

Ia susulan pendedahan pemain naturalisasi negara, Paulo Josue yang mengakui tidak menerima gaji sejak Januari lalu atau lebih tepat bermain bola sepak ‘secara percuma’ sejak tujuh bulan lalu.

Arena Metro turut mendedahkan isu sebenar di sebalik masalah itu apabila mantan Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad mengakui ia berlaku disebabkan permainan ‘politik kotor’ yang sanggup menahan dana pasukan selagi tidak dilantik sebagai Presiden KLFA.

Untuk rekod, pelantikan baharu Ahli Jawatankuasa KLFA sepatutnya berlangsung pertengahan tahun ini, namun difahamkan belum dijalankan kerana proses audit membabitkan kewangan kelab masih belum selesai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas