Berita

Nik Elin cabar undang-undang syariah, kerajaan tidak diam diri

- Diterbit 17 November 2023 12:30 AM MYT

KECOH sana sini apabila peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mengemukakan cabaran-cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).

Mereka mendakwa 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Malah, mereka turut menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan tersebut batal dan tidak sah.

Apa yang tidak sedap didengar, ramai netizen menuduh kerajaan berdiam diri dalam hal ini. Kata mereka, kerajaan seolah-olah membenarkan tindakan Nik Elin dan anaknya.

Tunggu cepat sangat tuduh melulu tanpa usul periksa. Sudah tentu kerajaan mengambil serius akan hal ini bukan seperti yang didakwa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Buktinya, pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama diseru terlibat dalam kes berkaitan Nik Elin Zurina lawan kerajaan Kelantan sama ada sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kes tersebut masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan dan sebarang komentar berkaitannya diklasifikasikan sebagai sub-judice.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi memastikan undang-undang syariah yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan sebaiknya.

“Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran rukun-rukun Islam.
“Peruntukan tersebut juga telah diperkenan oleh sultan dan raja pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Namun dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertahan dan menambah baik institusi kehakiman syariah di Malaysia.
“Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa bekerjasama rapat dengan institusi perundangan dan kehakiman syariah negeri yang terletak secara mutlak di bawah sultan dan raja pemerintah setiap negeri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas