Berita

NIF 2023 fokus perbincangan integriti dalam tadbir urus

- Diterbit 31 Julai 2023 2:20 PM MYT

FORUM Integriti Nasional 2023 (NIF 2023) yang julung kali diadakan hari ini menjadi platform rangkaian dan perkongsian pengetahuan dengan menghimpunkan penceramah jemputan, moderator serta ahli panel untuk membincangkan mengenai ‘Memimpin Tadbir Urus dengan Integriti’.

Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam kenyataan memaklumkan forum anjuran bersama Malaysian Alliance of Corporate Directors (MACD) itu dirasmikan Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Wan Suraya dalam ucapannya berkata tadbir urus korporat yang baik perlu menjadi tunjang utama dalam negara.

Beliau berkata amalan tadbir urus korporat kini menjadi keperluan bagi setiap negara dan perniagaan serta tidak lagi terhad kepada aktiviti syarikat tersenarai awam dalam pembangunan ekonomi perindustrian semata-mata.

“Pada ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat bagi pematuhan kepada piawaian tadbir urus korporat yang baik, penting bagi perusahaan tempatan mengambil langkah serius untuk mendalami dan mengguna pakai amalan tadbir urus korporat itu,” katanya dalam kenyataan oleh IIM hari ini.

Ahli Lembaga Pengarah IIM Datuk Yeow Wah Chin dalam kenyataan sama berkata tanggapan terhadap kepimpinan korporat berhubung tadbir urus yang baik adalah berbeza-beza berdasarkan rangka kerja dan bidang kuasa.

“Kepimpinan beretika bukan sekadar pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sahaja, ia merangkumi nilai dan prinsip yang membimbing ketua dalam proses membuat keputusan dan tindakan.

“Pemimpin beretika ialah seorang yang mempunyai integriti, empati dan keprihatinan terhadap kesejahteraan pekerja, pihak berkepentingan serta masyarakat,” katanya.

Presiden MACD Prof Adjung Paul W.Chan berkata Malaysia memiliki sumber untuk mendukung, menghayati dan melaksanakan cadangan nilai integriti kepada semua sektor negara, bukan sahaja dalam sektor korporat.

Beliau berkata cabaran terbesar seperti dibuktikan oleh pelbagai kajian iaitu amat jelas bahawa dalam semua peringkat, asas integriti korporat adalah integriti peribadi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas