Berita

Nicol David, Neelofa antara penerima Anugerah Ibu Zain 2025

- Diterbit 20 Februari 2025 12:30 PM MYT

LEGENDA skuasy wanita negara , Datuk Nicol David menerima anugerah tertinggi Anugerah Voices of H.E.R pada malam kemuncak Festival The Muslim World Women’s Summit: Voice of H.E.R dan Anugerah Ibu Zain 2025 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini, malam tadi.

Pada malam itu Nicol menerima cek bernilai RM 5,000, trofi beserta sijil yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Anugerah Ibu Zain 2025 memberi penghormatan kepada wanita luar biasa yang telah memberikan sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, kesihatan, perundangan, sukan, kesukarelawan dan lain-lain.

Selain Nicol, 12 lagi wanita luar biasa dipilih sebagai penerima Anugerah Ibu Zain 2025, termasuk selebriti terkenal Neelofa yang menerima kategori Anugerah Wanita Inspirasi, manakala Marsha Milan pula bagi kategori Anugerah Wanita Kesenian.

Neelofa ketika ditemui melahirkan kesyukuran di atas pengiktirafan diberikan.

Usahawan dan pengacara itu menyifatkan ia pengiktirafan yang besar.

“Alhamdulillah syukur dan terima kasih di atas pengiktirafan ini, saya sangat berbesar hati menerimanya.

“Perjalanan untuk menjadi seseorang yang memberi inspirasi bukan senang kerana banyak ujian yang harus saya lalui termasuk kritikan sepanjang perjalanan ini.

“Dengan anugerah atau tidak, tanggungjawab tokoh masyarakat itu besar kerana sering menjadi perhatian orang ramai. Kecil atau besar kesalahan, orang akan pandang dan mereka mempunyai persepsi sendiri,” katanya.

Turut menerima anugerah pada malam itu ialah atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong (Anugerah Wanita Kesukanan), pempengaruh dan usahawan Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin (Anugerah Wanita).

Penerima lain Chaya Sulaiman (Anugerah Kesukarelawan), Dr Nur Haliza Abdul Wahab (Anugerah Wanita Teknologi), Shamsiah Abdul Rahman (Anugerah Ibu Mithali) dan Dr Rafidah Abdullah (Anugerah Wanita Kesihatan).

Selain itu, kategori Anugerah Wanita Istimewa diberikan kepada Siow Lee Chan manakala Che Siti Noraini Nuawi menerima Anugerah Wanita Keusahawanan.

Bagi kategori Anugerah Wanita Perundangan diberikan kepada Datuk Dr Hartini Zainuddin dan Anugerah Wanita Pendidikan dimenangi Tina Tajuddin.

Pemilihan nama Anugerah Ibu Zain 2025 dibuat bersempena dengan nama seorang pelopor pendidikan dan hak wanita dikenali Tan Sri Hajjah Zainon Munshi Sulaiman (Ibu Zain) sekali gus anugerah itu melambangkan ketabahan, kepimpinan dan kecemerlangan wanita Malaysia.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas