SEKRETARIAT Gerak Gempur Media Sosial Rakyat hari ini telah membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial berasingan yang memainkan isu 3R (raja, kaum, agama).
Naib Pengerusinya, Shahbudin Embon hari ini berkata, pihaknya membuat laporan polis mewakili 20 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah gabungan terbabit.
“Saya telah meneliti satu video yang telah dimuat naik di beberapa akaun Facebook dan mendakwa ia didapati mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya dalam satu sidang medianya.
Menurut Shahbudin mereka menggunakan gambar Sultan Ibrahim menjemput Perdana Menteri untuk makan tengah hari di sebuah restoran yang begitu popular menjual asam pedas di Johor Bahru.
“Saya lihat di dalam hantaran gambar itu, telah digandingkan dengan satu video pendekar bujang lapok bagi tujuan mempersenda tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau juga mendapati terdapat komen jelik dan berbaur penghinaan dalam hantaran berkenaan.
”Saya tengok selepas itu, banyak komen jelik, penghinaan, hilang budi bahasa dan menghina.
”Jadi cara untuk mengajar mereka adalah dengan akta (bersangkutan) 3R kerana perbuatan ini sudah cukup dalam elemen Akta Hasutan iaitu menghina Raja Melayu dengan perkataan, dengan memberi gambaran dan meletakkan video. Ini isu 3R melibatkan istana,” katanya.
Selain itu, Shahbudin berkata laporan polis telah dibuat ke atas pemilik akaun Facebook Shamomar Ramli; pemilik akaun Nori Norli; dan pemilik akaun Aziah Ismail.
Sementara itu, timbalan pengerusi NGO itu, Mejar (B) Razali Zakaria berkata isu ini melibat kebiadapan terhadap Agong dan Perdana Menteri serta isu 3R.
Beliau berkata tindakan mesti diambil kepada pihak berkuasa kerana terlalu banyak sentimen dengki terhadap Perdana Menteri. – WILAYAHKU