Artikel

Ng Zhe Han mesra warga Kinrara

- Diterbit 6 September 2024 3:30 PM MYT

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Yang Berhormat (YB) Ng Zhe Han mahukan kerjasama semua pihak dalam menjadikan kawasan Kinrara sebuah bandar yang membangun, harmoni dan seimbang.

Biarpun pelbagai rintangan serta cabaran yang mendatang, namun beliau rela menghadapinya dalam memastikan impiannya terlaksana demi warga Kinrara.

Beliau yang turut menggalas jawatan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor ini sentiasa positif dalam menangani sebarang permasalahan serta memberikan solusi terbaik buat semua pihak tanpa membebankan penduduk di kawasan tersebut.

Ikuti wawancara eksklusif YB Ng Zhe Han bersama Wartawan Wilayahku, Syed Hazique bagi menceritakan liku-liku yang dihadapi sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Apakah kejayaan yang berjaya dilakar sepanjang menjadi wakil rakyat?

Saya memandang semua usaha yang dibuat adalah untuk pembangunan kawasan Puchong dan Kinrara seluruhnya tanpa mengira latar belakang.

Kinrara sebagai satu DUN yang terbesar di Malaysia sekarang telah menjadi satu bandar yang rancak dengan pelbagai aktiviti ekonomi dari perindustrian hingga pusat-pusat komersial yang tersedia.

Ada kawasan kampung, pekan lama seperti Taman Kinrara dan banyak pembangunan baharu di sini. Oleh itu cabarannya adalah berbeza.

Saya boleh katakan untuk tempoh sejak 2013, kita dapat sediakan satu peluang kehidupan yang berdaya huni di kawasan Kinrara dengan ketersediaan pengangkutan awam yang baik seperti stesen transit aliran ringan (LRT), Bas Smart Selangor dan perkhidmatan bas yang disediakan oleh pihak Rapid Bus dan laluan-laluan pejalan kaki.

Untuk laluan-laluan sibuk yang mempunyai bottleneck dan missing link pula, kita cuba untuk lebarkan sedikit jalan atau sambungkan supaya trafik akan lebih lancar.

Apakah antara cabaran yang dihadapi YB dalam menguruskan kawasan?

Sememangnya terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi tambah lagi aktiviti ekonomi di Kinrara ini banyak dan pelbagai.

Ia melibatkan beberapa agensi kerajaan dan latar belakang demografi yang berbeza. Antara yang memberi kesan kepada saya adalah semasa kejadian pandemik COVID-19.

Pergerakan kita lumpuh dan ramai penduduk jatuh susah dalam sekelip mata.

Mujur ketika itu saya dapat panggilan daripada pelbagai pihak berkemampuan yang sudi menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan tenaga kerja untuk membantu mereka yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masa ini kami laungkan kata-kata bersama masyarakat di Kinrara, Yang Mampu Bantu Yang Perlu dan Sayangi Kinrara.

Kita turun ke kawasan perumahan hulurkan bantuan kepada yang memerlukan bersama puluhan sukarelawan.

Selain itu, DUN Kinrara menjadi antara DUN yang menganjurkan saringan COVID-19 dan pusat vaksinasi sendiri yang dikawal selia Kementerian Kesihatan (KKM). Selepas krisis COVID-19, kita ada krisis pemulihan ekonomi untuk rakyat mula kembali bekerja dan cari pekerjaan dengan cepat.

Antara fokus utama YB dalam pembangunan kawasan ini?

Puchong sudah menjadi sebuah bandar yang membangun dan padat. Secara keseluruhannya, pembangunan komersial dan industri sudah pun cukup.

Jadi saya ingin wujudkan persekitaran untuk warga Kinrara supaya mereka mampu membina keluarga dan bekerja di sini sekali gus menjadi komuniti yang seimbang.

Oleh itu, selain kemudahan infrastruktur, saya usahakan pembangunan kompleks sukan bertaraf antarabangsa di Taman Wawasan yang mempunyai gelanggang futsal, badminton dan turut mempunyai trek basikal di sekitar kompleks tersebut yang bakal siap tidak lama lagi.

Kita ada Taman Tasik Wawasan yang setiap hujung minggu penuh dengan komuniti. Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) juga sedang menaik taraf Taman Tasik Puchong Perdana supaya ia dapat menjadi setaraf dengan Taman Tasik Wawasan bagi kemudahan komuniti di sana.

Berapakah peruntukan yang diterima dan bagaimanakah ia diagihkan?

Secara dasarnya antara peruntukan yang tersedia di bawah Pejabat Ahli Dewan Negeri meliputi bantuan kebajikan, penganjuran program komuniti dan projek infrastruktur.

Sebahagian besar adalah bagi tujuan kebajikan dan penganjuran program-program.

Setiap tahun, terdapat lebih 100 program komuniti dan program anjuran Kerajaan Negeri diadakan di Kinrara dengan bantuan peruntukan daripada pejabat ADUN.

 

Bercakap tentang soal miskin tegar, berapa banyakkah jumlah yang terdapat di kawasan YB dan apakah yang telah dilakukan bagi mengatasi masalah ini?

 

Miskin tegar adalah isu yang sedang ditangani secara holistik oleh Kerajaan Negeri melalui Exco Kebajikan dan Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor.

Di Puchong, kita lihat golongan miskin bandar atau miskin relatif sebagai satu golongan yang perlu dibantu dan diberi perhatian.

Golongan ini sangat terkesan dengan kesan inflasi, justeru itu, melalui program-program kebajikan Kerajaan Negeri di bawah Iltizam Selangor Penyayang seperti Bantuan BINGKAS dan Skim SMUE atau baucar hari lahir, bantuan tersebut dapat meringankan beban golongan miskin bandar.

Lebih 1,000 penerima manfaat setiap tahun yang memperoleh bantuan kebajikan seperti ini.

Selain itu, pejabat saya juga bekerjasama dengan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta syarikat-syarikat korporat untuk menyampaikan bantuan yang bersesuaian.

Lambakan projek perumahan, kesesakan lalu lintas antara masalah utama yang dihadapi penduduk, apakah pendekatan atau jalan penyelesaian yang dibuat?

Di Puchong kita mempunyai jajaran rel LRT untuk kemudahan penduduk. Oleh itu, isu kesesakan lalu lintas dapat dibantu dengan adanya kemudahan ini.

Kita cuba sediakan kemudahan First and Last Mile kepada penduduk untuk ke LRT dan hentian bas supaya mereka tidak perlu memandu dan terus ambil pengangkutan awam ke destinasi.

Antaranya adalah kemudahan laluan pejalan kaki dan kemudahan Van Demand Responsive Transit yang diperkenalkan tahun lalu di sini.

Apakah harapan YB bagi tahun ini dan di masa hadapan?

Harapan saya adalah untuk membawa lebih banyak kemudahan kepada warga DUN Kinrara supaya mereka dapat hidup dalam keadaan harmoni dan seimbang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas