Berita

Nelayan dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan

AHLI keluarga mangsa berkumpul dan menanti sebarang perkembangan semasa di Pangkalan Penurunan Ikan di Kampung Tanjung Aru
- Diterbit 20 Ogos 2024 4:21 PM MYT

SEORANG nelayan dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan di perairan Kampung Tanjung Aru, di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim, mangsa yang dikenali Ramlee Mahroff, 46, dipercayai keluar menangkap ikan menggunakan bot beringin pada 6 pagi semalam dan belum ditemui setakat ini.

Katanya, pihaknya menerima laporan pada pukul 6.30 petang semalam daripada pengadu iaitu isteri kepada mangsa.

“Bertindak atas maklumat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh pelbagai agensi serta turut dibantu orang awam.

“SAR awal dilancarkan dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) didirikan di sini bermula pukul 8 malam sebelum ditangguhkan pada 12.10 tengah malam tadi.

“Pencarian hari kedua disambung seawal pukul 6.30 pagi tadi dengan kekuatan seramai 104 pegawai dan anggota yang menggunakan aset dari pelbagai jabatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, sebanyak empat buah bot terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kita juga memperoleh bantuan tambahan sebanyak empat buah bot daripada orang awam dan syarikat persendirian serta swasta.

“SAR hari kedua ini ditumpukan di kawasan yang sering dituju oleh mangsa untuk mendapatkan bekalan ikan berdasarkan maklumat daripada rakan serta ahli keluarganya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pasukan keselamatan menjalankan SAR di sekitar kawasan perairan Terumbu Tompok Kerukan dan Tompok Jahat Barat serta Beting Iris membabitkan radius pencarian sehingga 16.5 batu nautika perairan Kuala Penyu dan 17 batu nautika Tanjung Aru Labuan.

“Setakat ini kita belum mengesan sebarang petunjuk daripada bot mahupun mangsa sendiri dan SAR akan diteruskan dengan kekuatan pasukan SAR yang ada.

“Kita juga mengalu-alukan orang awam serta komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkenaan mangsa supaya memaklumkan kepada PKTK atau pihak berkuasa.

“Kita juga mengharapkan perkembangan positif daripada SAR ini dan usaha pencarian akan diteruskan berdasarkan keadaan semasa meskipun cuaca di lokasi pencarian tidak menentu iaitu hujan dan berangin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas