Berita

Negara tarik RM70.3 bilion pelaburan, raih keyakinan syarikat gergasi dunia

- Diterbit 4 Oktober 2024 11:43 AM MYT

PELABUR asing tertarik untuk melabur di Malaysia kerana pulangan pelaburan yang kompetitif dalam sektor-sektor seperti hartanah, pasaran saham dan bon kerajaan.

Terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mengenai minat syarikat gergasi teknologi dunia Oracle, terkait pembukaan pusat awan awam pertamanya dengan pelaburan berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion).

Menurut Anwar, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat-syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau.

Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan MADANI telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft dan Google.

Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion).

Menurut Setiausaha Agung, Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Dr Mohd Fairuz A. Razak apabila pelabur asing ingin melabur di Malaysia, mereka perlu menukar mata wang mereka kepada ringgit, yang meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

“Pengurusan bekalan mata wang oleh Bank Negara Malaysia boleh memastikan ringgit tidak dibanjiri di pasaran. Penawaran yang terkawal ini mengekalkan kestabilan dan boleh mengukuhkan nilainya,” katanya.

Selain itu, Mohd Fairuz menjelaskan dasar monetari yang ketat di mana jika BNM mengekalkan kadar faedah, ia menjadikan simpanan dalam ringgit lebih menarik kepada pelabur kerana mereka boleh mendapat pulangan lebih tinggi berbanding dengan mata wang lain yang mempunyai kadar faedah lebih rendah.

“Ini dinamakan carry trade, di mana pelabur meminjam dalam mata wang yang mempunyai kadar faedah rendah dan melabur dalam mata wang yang mempunyai kadar lebih tinggi.

“Dalam jangka pendek, biasanya menyebabkan peningkatan aliran masuk modal jangka pendek seperti pelaburan dalam bon dan instrumen kewangan.

“Dalam jangka panjang, kestabilan kadar faedah yang tinggi boleh menyokong peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), yang seterusnya mengukuhkan ringgit,” ujarnya.

Menurut beliau, jika ekonomi global menunjukkan pemulihan yang kukuh selepas kelembapan atau kemelesetan, permintaan terhadap eksport Malaysia, seperti elektronik, minyak sawit dan gas asli, akan meningkat.

“Apabila eksport meningkat, hasil dalam bentuk mata wang asing akan bertambah, yang memberikan tekanan ke atas kenaikan nilai ringgit.

“Malaysia merupakan pengeksport komoditi seperti minyak kelapa sawit dan gas asli. Kenaikan harga komoditi global akan meningkatkan pendapatan negara, yang menyebabkan lebih banyak aliran masuk mata wang asing sekali gus akan menyebabkan peningkatan permintaan terhadap ringgit serta mengukuhkan nilainya” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang pesat menarik lebih ramai pelabur asing.

“Apabila data KDNK Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang sihat, ia memberi keyakinan kepada pelabur untuk mengekalkan atau meningkatkan pelaburan dalam negara.

“Selain itu, apabila kadar pengangguran rendah, ekonomi domestik menjadi lebih stabil, meningkatkan keyakinan pelabur asing. Peningkatan dalam produktiviti akan memacu keuntungan syarikat, seterusnya meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan mengukuhkan ringgit,” katanya.

“Malah jika kerajaan berjaya mengekalkan kadar inflasi yang rendah dan stabil, daya beli rakyat akan meningkat ia memberi keyakinan kepada pelabur bahawa nilai ringgit akan kekal kukuh dalam jangka panjang kerana inflasi yang terkawal mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai mata wang,” jelasnya.

Namun, Mohd Fairuz turut menegaskan faktor luaran seperti kelemahan mata wang utama lain terus mengukuhkan nilai ringgit.

“Ringgit boleh kelihatan lebih kukuh apabila mata wang utama lain, seperti dolar AS atau euro, melemah. Ini boleh berlaku jika ekonomi AS atau Eropah menghadapi cabaran seperti inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan atau krisis politik,” katanya.

Beliau berkata langkah-langkah pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaan, seperti memperbaiki persekitaran perniagaan, mempromosikan inovasi dan memperkukuh perdagangan antarabangsa, boleh menarik pelaburan asing dan meningkatkan keyakinan pasaran terhadap ekonomi Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas