Berita

Negara anggota ASEAN sedia bantu Malaysia tangani isu kekurangan beras – Mohamad Sabu

MOHAMAD SABU (kanan) bersalaman bersama Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Datuk Dr Awang Abdul Manaf Metussin membuat perbincangan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) Ke-45. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 6 Oktober 2023 12:00 PM MYT

NEGARA anggota ASEAN bersepakat untuk memberi kerjasama kepada Malaysia dan mengutamakan rakan negara serantau  dalam membantu isu berkaitan makanan yang dihadapi negara masing-masing termasuk isu kekurangan beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata keputusan itu dinyatakan menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 yang berlangsung di sini, sejak 2 Oktober dan melabuhkan tirainya hari ini.

“Kerjasama antara ASEAN misalnya kalau kita menghadapi masalah beras, negara anggota ASEAN akan mengutamakan sesama ASEAN terlebih dahulu. Vietnam, Kemboja dan Thailand juga menyatakan sebarang permintaan baharu penambahan import dan sebagainya, mereka akan mempertimbangkan.

Begitu juga hubungan kita dengan China, tadi pihak kastam China hendak mencari jalan bagaimana mempermudahkan dagangan antara ASEAN dengan China. Begitu juga Jepun dan Korea Selatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat dan pertemuan bersama Kemboja dan China sempena AMAF hari ini.

Mengulas mengenai sesi AMAF yang berlangsung selama lima hari itu, Mohamad berkata mesyuarat berkenaan telah berlangsung secara lancar serta mengikut agenda yang dijadualkan dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakannya.

Malaysia menjadi tuan rumah AMAF ke-45, dalam usaha memperkukuhkan kedudukan ASEAN sebagai ‘bakul makanan dunia’ selain memacu kerjasama lebih erat antara negara anggota bagi memelihara keterjaminan makanan di rantau ini.

Ia disertai negara anggota ASEAN yang terdiri dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam bersama China, Jepun dan Korea Selatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas