Berita

Negara amal dasar baik dalam isu kapal perang China berlabuh

KAPAL yang ingin berlabuh di pelabuhan  Malaysia dibenarkan kecuali Israel. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Oktober 2024 10:06 AM MYT

KECOH baru-baru ini diperkatakan di laman sosial tentang sambutan Kerajaan Pulau Pinang untuk kelasi dan Kadet Kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) yang didakwa di luar norma kebiasaan.

Ada yang mendakwa itu salah satu langkah awal China untuk menakluk Malaysia menerusi Pulau Pinang yang diperintah oleh parti DAP.

Mereka mengatakan, andai kapal kargo adalah perkara biasa, namun bukan satu kebiasaan untuk kapal perang berlabuh melainkan terdapat agenda yang dapat memberi ancaman secara halus tanpa disedari.

Pelbagai spekulasi yang tidak baik berkenaan kedaulatan negara turut diseret oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kegusaran pelbagai pihak.

Tanpa membiarkan pelbagai spekulasi timbul, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mengamalkan dasar baik dengan semua negara dan membenarkan mana-mana kapal untuk berlabuh kecuali Israel.

Malah kunjungan kapal tentera dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang baru-baru ini tidak sepatutnya dijadikan isu yang perlu diperbesarkan.

“Kita mempunyai operasi ketenteraan bersama dalam kawasan kita dengan Amerika Syarikat, China, Singapura, Indonesia dan India. Apa masalahnya?

“Bagi saya tiada masalah, hal ini telah berlaku sejak lama. Kita ingin menjelaskan bahawa Malaysia mengamalkan dasar baik dengan semua negara. Kapal yang ingin berlabuh di pelabuhan kita akan dibenarkan dari semua negara, tiada kompromi kecuali untuk Israel. Itu adalah dasar yang kita amalkan sekarang, tetapi kini dijadikan isu,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-78, baru-baru ini.

Anwar berkata dakwaan pihak tertentu bahawa kemasukan kapal perang seolah-olah akan melakukan serangan dan mengambil alih negara tidak sepatutnya berlaku.

Bukan sahaja Anwar, malah  Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, kunjungan kapal tentera dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang adalah perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Mohamad Hasan berkata permohonan berkaitan kunjungan delegasi China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang juga telah dibuat secara rasmi kepada kementerian berkaitan.

Semoga pencerahan ini dapat menghentikan segala tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan khususnya. Tidak perlu diperbesarkan perkara yang tidak pasti kerana sudah pasti kerajaan terus mempertahankan setiap inci kedaulatan negara dan tidak sesekali bertolak ansur terhadap sebarang ancaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas