PENGALAMAN selama 18 tahun dalam dunia perfileman mendorong penerbit Aron Koh berkongsi pandangannya kepada penggiat industri dalam menghasilkan karya.
Buah fikiran tersebut digarap kemas bersama pengalaman dan pandangan yang diterjemahkan dalam buku yang berjudul Lensa: Di Sebalik Kisah Pembikinan Filem Malaysia.
Menurutnya naskhah tersebut bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh penggiat seni bahkan dapat digunakan bagi tujuan pendidikan kepada mereka yang berminat dalam industri perfileman Malaysia.
“Melaluinya mereka dapat memahami peraturan industri, menganalisis proses pembikinan filem dan mengenal pasti faktor kejayaan sesebuah filem serta adaptasi trend industri pasca pandemik.
“Saya juga yakin buku ini akan memberi inspirasi dan pandangan kepada pembikin filem baharu, lepasan ijazah dan yang sedang menunggu peluang serta pendedahan kepada pembuat filem luar negara tentang industri perfileman dalam Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran di TGV Pavilion, Bukit Jalil baru-baru ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman.
Berpengalaman sebagai Pengurus Besar Akademi Filem dan TV Limkokwing, Aron berkata antara intipatinya berkisar tentang keadaan semasa industri filem Malaysia, cabaran dalam industri dan jalan ke hadapan untuk industri.
“Selain itu, analisa secara menyeluruh mengenai pemahaman dan pandangan saya terhadap industri, masalah yang dihadapi dan cadangan yang kontra,” ujarnya buku tersebut turut diperakui oleh Blockchain Agency selain merupakan karya pertama pembuat filem Malaysia yang diletakkan di platform dagangan NFT.
Sebelum ini buku tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris berjudul ZOOM IN: The Untold Story of Malaysian Filmmaking.
Aron yang juga Penerbit Lomo Pictures pernah menerbitkan filem popular seperti Haunted Hotel dan akan memperkenalkan tiga filem dan satu dokumentari iaitu Tiga Adiwira, Syaitan Nirrajim, Dokumentari Asean Horror dan The Missing Child yang bakal ditayangkan tahun hadapan. – WILAYAHKU