Berita

Nam Ron puji Idan Aedan, ramal bakal jadi pelakon hebat cuma perlukan ‘luck’

NAM Ron (kiri) ramal Idan Aedan bakal menjadi pelakon hebat.
- Diterbit 23 April 2025 9:00 PM MYT

PELAKON popular Idan Aedan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 20, akui terharu dengan pujian yang diberikan aktor hebat Nam Ron terhadap dirinya.

Menerusi Facebook, Nam Ron meramalkan Idan bakal menjadi pelakon hebat suatu hari nanti jika terus diberikan peluang dan diiringi ‘luck’ atau tuah.

“Apabila baca komen Abang Nam Ron tentang saya, memang rasa terharu sangat. Saya pun tak sangka beliau memberi komen yang positif terhadap pelakon yang masih muda seperti saya.

“Apa-apa pun, Alhamdulillah saya bersyukur apabila seorang pelakon hebat dan mempunyai nama besar seperti Nam Ron berpendapat sedemikian.

“Dalam masa yang sama, ia adalah satu penghargaan dan pembakar semangat saya untuk menjadi lebih baik dan konsisten dalam apa yang saya lakukan sekarang.

“Saya akan teruskan apa yang ada dan memperbaiki kelemahan serta sentiasa memberikan komitmen dalam kerjaya ini,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam masa yang sama, Idan yang lebih selesa hidup tanpa kontroversi ini akui elemen tersebut adalah satu keperluan dalam dunia hiburan.

NAM Ron (kiri) ramal Idan Aedan bakal menjadi pelakon hebat.

Bagi pelakon siri Netflix Mr. Midnight : Beware The Monsters berkata, kontroversi sememangnya dapat menaikkan nama seseorang artis namun ada risikonya jika silap percaturan.

“Saya lebih selesa seperti sekarang. Apa yang saya lakukan adalah fokus dan memberikan komitmen sepenuhnya kepada kerjaya lakonan. Kalau perasan, saya memang kurang ke arah itu kerana lebih selesa sebegini.

“Lagi pun, alasan kenapa saya berada dalam industri ini adalah disebabkan minat yang mendalam terhadap lakonan.

“Saya rasa terinspirasi dengan apa sahaja berkaitan industri ini seperti bertemu dengan ramai orang baru, minat lihat segala kelengkapan shooting, seronok dengan pengalaman yang dilalui, bekerja untuk projek terbaru dan berlakon karakter berlainan.

“Namun, Dalam masa yang sama, saya tak nafikan gimik dan kontroversi ini adalah strategi untuk zaman sekarang. Tambahan pula boleh kata semua orang ada media sosial. Itu adalah salah satu cara yang senang untuk tarik perhatian orang lain.

“Industri filem adalah bisnes jadi ini antara cara untuk meluaskan promosi kepada ramai orang. Boleh dikatakan, media sosial adalah cara paling mudah dan sangat berkesan,” ujarnya yang masih solo tanpa kekasih.

Antara filem lakonan Idan Aedan sebelum ini adalah Anak Rimau The Movie, Pulang, Harum Malam dan banyak lagi. – WILAYAHKU

 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas