Berita

NAIO organisasi utama pantau teknologi AI

- Diterbit 11 November 2024 4:45 PM MYT

PENUBUHAN Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) berfungsi untuk mengawal selia perkembangan AI di Malaysia serta menerajui inisiatif yang memanfaatkan AI untuk mengukuhkan ekonomi digital, meningkatkan perkhidmatan awam dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata NAIO merupakan organisasi utama yang akan memantau pelaksanaan teknologi AI mengikut sektor dalam negara demi memastikan segenap aspek akan dijaga dengan baik daripada sebarang ancaman dan penyalahgunaan yang tidak wajar.

“Dalam hubungan yang sama, bagi penyediaan persekitaran dan ekosistem yang menyokong reka bentuk dan pembangunan AI secara beretika dan bertanggungjawab, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah meluncurkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence Governance and Ethics (AIGE) pada 20 September 2024.

“Garis Panduan ini turut sama dimurnikan oleh Kementerian Digital dengan melihat kepada ekosistem AI secara menyeluruh meliputi pembangun, penyedia perkhidmatan, pengguna dan penggubal dasar berkaitan AI supaya mematuhi nilai-nilai sosial dan etika, serta kebijakan yang ada bagi memastikan teknologi AI digunakan untuk kesejahteraan umum tanpa mengabaikan hak kemanusiaan dan keamanan individu,” katanya.

Gobind berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN- Rompin) berhubung perkembangan pesat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia hari ini dan apakah jaminan Kementerian bagi memastikan kod etika dan perlindungan data privasi dapat dikawal daripada berlakunya ketirisan di parlimen hari ini.

Katanya, selain daripada penguatkuasaan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] yang telah diwartakan pada 17 Oktober 2024 ia bagi menambah baik tadbir urus melibatkan perlindungan data peribadi di Malaysia.

Menurut Gobind, pihaknya melalui Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi sedang membangunkan tujuh Garis Panduan dan tiga daripadanya adalah berkait secara langsung dengan teknologi AI.

“Antaranya adalah Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data / Guidelines on Data Protection Impact Assessment (DPIA); Garis Panduan Mereka Bentuk berasaskan Privasi / Guidelines on Privacy by Design (PbD).

“Dan Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan / Guidelines on Automated Decision Making (ADM) and Profiling,” katanya.

Jelas beliau, kesemua Garis Panduan ini boleh dijadikan sebagai dokumen rujukan oleh Pengawal-Pengawal Data di Malaysia dengan mengambil kira kepesatan teknologi AI yang merupakan teknologi yang sangat bergantung kepada pemprosesan data yang tinggi.

“Pihak Kementerian juga akan terus menjalinkan kerjasama strategik merentasi sektor awam dan swasta agar dapat meminimumkan insiden ketirisan data peribadi pada masa hadapan.

“Ia melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuklah penganjuran program literasi AI, pembangunan rangka kerja kawal selia serta Pelan Tindakan Teknologi AI 2026-2030.

“Kesemua gerak kerja ini berupaya untuk memastikan semua pihak berkepentingan lebih bersedia dalam menangani sebarang insiden yang tidak diingin,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas