Berita

Naik taraf lif PPR/PA

- Diterbit 22 Disember 2023 9:30 AM MYT

PROGRAM pembangunan dan kesejahteraan komuniti khususnya untuk warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta beberapa program lain tidak dilupakan dalam belanjawan 2024 dengan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM350 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata DBKL komited untuk mengurus lebih 39,180 unit rumah sewa di lima kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 17 kawasan Perumahan Awam (PA) di sekitar Kuala Lumpur.

“Peruntukan mengurus yang besar sebanyak RM122.3 juta disediakan bertujuan membaiki dan menyelenggara rumah-rumah pangsa yang melibatkan kerja-kerja awam, elektrik, mekanikal, kerja lif atau mesin.

“Sejumlah RM17.9 juta diperuntukkan untuk projek penggantian dan naik taraf lif di beberapa kawasan PA dan PPR bagi menjamin keperluan dan mengatasi masalah kerosakan lif berulang.

“Selain daripada itu, sejumlah RM85 juta diperuntukkan untuk tujuan pembinaan dan naik taraf dewan masyarakat, dewan komuniti serta dewan serbaguna di seluruh Kuala Lumpur,” katanya.

Kata Datuk Bandar, DBKL turut memperuntukkan RM46 juta bagi pengurusan perkhidmatan bas GO KL yang akan diperluaskan lagi jaringan laluan dan bilangan bas dan program bantuan bas sekolah percuma kepada murid-murid yang kurang berkemampuan dengan peruntukan sebanyak RM13 juta.

“Program khas komuniti warga kota melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan gelandangan yang merangkumi pelbagai peringkat umur tidak dipinggirkan dalam Bajet 2024 ini dengan anggaran peruntukan berjumlah RM58.7 juta serta RM7.1 juta disediakan bagi aktiviti pembangunan sosial dan gotong-royong,” katanya.

Menurut Datuk Bandar, sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan untuk pelbagai kegiatan sukan, kebudayaan dan persembahan muzik, manakala RM5.5 juta pula diperuntukkan untuk penyenggaraan stadium atau kompleks renang dan kolam renang bagi kemudahan riadah warga kota termasuk dewan dan kompleks sukan serta penyelenggaraan bangunan warisan di Bangunan Sultan Abdul Samad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas