DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi bakal menaik taraf penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Festival Park (KLPF) dengan konsep baharu sebagai sebuah program antarabangsa.
Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, Zulkifli Endut berkata konsep baharu tersebut dicadang akan melibatkan penyertaan daripada pereka, persatuan serta peserta dari luar negara selaras dengan usaha kerajaan bagi menarik kehadiran pelancong antarabangsa.
“KLPF merupakan antara usaha DBKL untuk mempromosikan taman-taman awam dan kawasan hijau di Kuala Lumpur bagi meningkatkan aktiviti dan kegunaan taman awam sebagai sebuah ruang pelbagai kepada warga kota.
“Selain itu, ia juga diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga kota tentang seni bina landskap dan rekaan bentuk hiasan dalaman, kaedah penjagaan serta tanaman berasaskan makanan,” kata beliau.
Zulkifli berkata cadangan pembaharuan KLPF tersebut diadakan berikutan kejayaan DBKL bersama jabatan-jabatan terlibat dinobatkan sebagai penerima Anugerah Green Initiatives Award bagi kategori kerajaan dalam menganjurkan festival berkenaan pada tahun 2023.
Katanya, anugerah yang diterima itu dinilai berdasarkan beberapa aspek merangkumi peningkatan imej bandar, kesedaran awam terhadap alam sekitar dan sumbangan bagi memartabatkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“KLPF 2023 membawa konsep atau tema Laman Seni dan Flora Malaysia yang menghimpunkan laman-laman dengan ciri-ciri khusus dari seluruh pelosok Malaysia serta seni arca alam sekitar yang digubah dari elemen semula jadi.
“Kedua-dua unsur tersebut menjadi fokus dalam festival tersebut yang dipersembahkan dalam bentuk pertandingan dan pameran.
“Ia adalah penghargaan bermakna buat seluruh warga kerja yang terlibat dan merupakan titik semangat untuk terus berusaha mengindahkan dan menaik taraf taman serta kawasan hijau sedia ada di bandar raya Kuala Lumpur.
“Semasa penganjuran KLPF 2023, DBKL telah dianugerahkan dua anugerah Malaysian Books Of Records (MBOR) iaitu The Most House Plant Species In An Exhibition di mana kami telah menempatkan lebih 50,000 pokok daripada 5,120 spesies di dalam satu pameran.
“Selain itu, kami juga berjaya merangkul pengiktirafan Most Ribbon Knots Art In An Installation iaitu hiasan ribbon pallet sepanjang 60 meter dengan 17,150 ikatan daripada 35 jenis tona warna riben yang diperbuat daripada kain satin,” katanya.
Terdahulu, anugerah tersebut diterima oleh wakil-wakil daripada jabatan terlibat iaitu Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi, Jabatan Perancangan Bandar serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL pada Malam Gala Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) 2024.
Zulkifli berkata KLPF adalah sebuah program peringkat kebangsaan yang melibatkan pelbagai pemegang taruh dari seluruh Malaysia termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Malaysia, institusi pendidikan seperti universiti awam daripada pelbagai universiti, dan peserta-peserta daripada segenap lapisan kaum dan masyarakat.
“Melalui festival ini, ia dapat memupuk kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar melalui acara dan pertandingan yang dianjurkan dengan mesej kepentingan alam semula jadi,” ujar beliau. – WILAYAHKU