YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) menyertai sesi libat urus bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini untuk membincangkan peluang kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Ekesekutif YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimihamed, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam aspek kesejahteraan sosial dan perancangan kewangan.
Abdul Basir berkata antara program yang telah disusun adalah Program Kesedaran Kewangan dan Simpanan Persaraan serta Pelaburan Sosial dan Infrastruktur.
“Bagi Program Kesedaran Kewangan dan Simpanan Persaraan, ia adalah untuk meningkatkan pemahaman individu mengenai pengurusan kewangan peribadi, kepentingan simpanan jangka panjang dan persediaan untuk persaraan.
“Ia akan diadakan di Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) bermula Mei sehingga September ini di mana golongan sasaran adalah B40 dan juga pekerja gig.
“Seterusnya Pelaburan Sosial dan Infrastruktur oleh KWSP merujuk kepada inisiatif pelaburan yang memberi manfaat ekonomi serta kesejahteraan sosial kepada rakyat Malaysia, selaras dengan mandat dana persaraan ini untuk menjana pulangan mampan jangka panjang.
“Dengan menyeimbangkan keuntungan kewangan dan impak sosial, KWSP memastikan pelaburan ini memberi manfaat kepada pencarum sambil menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh,” jelas beliau.
Tambahnya, YWP turut meneroka peluang untuk bekerjasama bagi program-program berkaitan pendidikan yang merupakan fokus utama pihaknya. -WILAYAHKU