Artikel

Naik gaji rajin kerja

- Diterbit 17 Mei 2024 11:00 AM MYT

MULAI Disember ini, kakitangan kerajaan bakal menikmati kenaikan gaji sehingga lebih 13 peratus.  Berita gembira ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan Hari Pekerja 1 Mei lalu.

Pasti pengumuman ini menggembirakan seluruh kakitangan kerajaan yang sekian lama mengharapkan ada anjakan dalam skala gaji mereka. Menurut Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), tidak ada kenaikan gaji sejak 12 tahun lalu.

Kawan-kawan Kedai Kopi ucap tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri yang mendengar suara hati kakitangan awam agar gaji dinaikkan sejajar dengan kos kehidupan yang kian meningkat.

Namun perlu diingat, Anwar juga menegaskan, kenaikan imbuhan ini bukan automatik, tetapi bergantung kepada prestasi setiap orang. Yang melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang akan menerima imbuhan. Dijangka 95 peratus akan menerima kenaikan automatik.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, langkah ini bagus untuk membezakan penjawat awam yang dedikasi terhadap tugas dengan yang hanya jadi penumpang. Semoga itu akan menjadi loceng amaran kepada mereka yang lemah untuk memperbaiki diri.

Imbuhan gaji hendaklah dianggap sebagai pembakar semangat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada orang awam. Ganjaran yang diberi oleh kerajaan mesti diiringi dengan peningkatan mutu perkhidmatan.

Kawan-kawan Kedai Kopi biasa mendengar rungutan mengenai gelagat segelintir kakitangan awam yang seperti acuh tidak acuh apabila bertugas. Misalnya memberi layanan kurang mesra, tidak tersenyum dan adakala tutur kata juga kurang enak didengar.

Bagi kelompok ini, kawan-kawan Kedai Kopi harap ubahlah sikap. Harapan tinggi diletakkan di atas bahu anda untuk memberi perkhidmatan terbaik. Ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan komited, jujur dan ikhlas demi mewujudkan perkhidmatan awam yang gemilang dan terbilang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas