KEMENTERIAN Luar Negeri (Wisma Putra) sedang mendapatkan pengesahan jika ada warga Malaysia dalam nahas pesawat Jeju Air yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan.
Setakat ini seramai 28 orang dilaporkan terkorban ketika penerbangan 7C2216 yang membawa 181 orang dari Bangkok itu cuba mendarat di lapangan terbang terbabit pada pukul 9.07 pagi tadi (waktu tempatan).
Kegagalan fungsi gear pendaratan berkemungkinan menyebabkan pesawat itu terhempas selepas cubaan pendaratan pertama gagal, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa.
Menurut Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Seoul sedang mengumpul maklumat daripada pihak berkuasa mengenai kejadian berkenaan.
“Setakat ini belum ada pengesahan mengenai ada rakyat Malaysia dalam pesawat berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wisma Putra menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau sebarang maklumat boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Seoul di alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Korea Selatan.
Mereka juga boleh menghubungi +82-2-2077 8600/+82-10-8974-8699 atau e-mel [email protected]. – WILAYAHKU