KALAU sudah jodoh, tidak ke mana. Setelah dua kali menunda tarikh majlis pernikahan, pelakon kacak Nafiz Muaz, 22, kini sah menjadi suami kepada ahli perniagaan Diyana Omar, 29, dengan sekali lafaz kira-kira jam 11.33 pagi tadi
Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Omar Ahmad dan disaksikan kira kira 100 orang tetamu dalam satu majlis skala kecil di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
“Perancangan awal kami sepatutnya sejak Ogos lalu. Dek situasi semasa pandemik COVID 19 dan beberapa kekangan lain, kami anjak pula ke Disember lalu.
“Akhirnya saya dan isteri tidak boleh berkompromi lagi dalam hal menangguhkan majlis kahwin ini. Maka kami nekad memilih tanggal 2 Januari 2020 sebagai saksi hari bersejarah.
“Biarpun berlangsung dalam suasana norma baharu selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kami akur dengan ujian yang melanda dunia ini,” katanya.
Pihak pengantin lelaki menyerahkan wang hantaran berjumlah RM30,000, mas kahwin RM1001 dan lima dulang berbalas tujuh daripada pengantin perempuan.

Nafiz atau nama sebenarnya Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir ini menjelaskan sikap sangt memahami isteri yelah memikat hatinya.
“Lebih utama dia sangat memahami saya. Kami masing masing terbuka dalam banyak perkara.
“InsyaAllah kami akan sama sama melayari bahtera perkahwinan ini dengan penuh tanggungjawab. Semoga Allah mempermudahkan rencana hidup baru kami ini,” katanya yang masing masing tidak menolak rezeki jika dikurniakannya dalam masa terdekat.
Pasangan ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi pada 21 Januari ini dan pada bulan Februari pula majlis bertandang di Sungai Petani, Kedah.
Pasal bulan madu, mereka belum merancang memandangkan Nafiz akan mula menjalani penggambaran sebuah drama bermula 6 Januari ini
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis perkahwinan mereka. – WILAYAHKU