PELAKON, penyanyi dan pengacara remaja Fikry Kiki mengaku kecewa dan terasa hati dengan sesetengah netizen yang mendakwa kononnya dia dibela ‘sugar mummy’ untuk menjalankan bisnes kopi tanpa bancuh berbentuk cecair, Liquffe (Liquid Coffee) yang diusahakannya.
Baru-baru ini, Fikry Kiki atau nama sebenarnya Muhammad Fikry Izzudin Mohd Fuad,20, mengaku terdapat sesetengah netizen yang menuduh kononnya dia adalah ‘anak ikan’ kepada pempengaruh seksi, Bulan
“Tidak dinafikan, mungkin tawaran lakonan yang saya dapat tidaklah sehebat pelakon-pelakon muda lain, walaupun sudah berlakon sejak umur lima tahun.
“Namun, itu bukan alasan untuk saya ‘menjual’ diri saya jadi ‘anak ikan’ atau dibela sesiapa dengan tujuan untuk hidup kaya. Tidak sama sekali.
“Saya masih ingat dosa pahala. Arwah ayah dan ibu saya didik saya dari kecil untuk berusaha sendiri dalam mencapai apa yang diinginkan.
“Jauh sekali rela ‘jual’ tubuh untuk kepuasan ‘sugar mummy’ atau sesiapa. Memang minta dijauhi,” katanya pada Sidang Media Pelancaran Liquffe, di Semenyih, Selangor, hari ini.

Kiki yang popular dengan drama Tidak Ada Sepertimu berkata demikian apabila sejak akhir-akhir ini ada yang mempertikaikan bisnes Liquffe yang diusahakannya dengan modal RM600 ribu, ditaja oleh seorang ‘sugar mummy’ yang juga pempengaruh sensasi, Bulan.
“Dia bukan ‘sugar mummy’ saya. Sebahagian besar modal bisnes RM600 ribu adalah usaha saya sendiri.
“Bulan adalah rakan kongsi saya yang saya sudah anggap seperti kakak. Sebagai seorang influencer yang berpengalaman dalam bisnes, rasanya tak salah untuk saya belajar daripadanya.
“Pada asalnya dia ada berkongsi kepada saya tentang produk kopi tanpa bancuh iaitu Liquffe yang sedang kami usahakan sekarang.
“Pada asalnya, dia meminta pendapat saya, mahu mengeluarkan produk yang pertama di Malaysia itu. Apabila saya cuba produk itu selama beberapa bulan, memang sedap dan yakin boleh pergi jauh.
“Jadi, dari situlah bermulanya kami jadi rakan bisnes dan duit RM600 ribu itu adalah modal kami bersama. Lagi pun, saya tak tahu sampai bila bertahan dalam industri seni.
“Tidak timbul soal dia menaja saya atau saya jadi ‘anak ikan’ dia. Kami memang sudah lama berkawan. Saya harap netizen yang menyindir saya di Instagram itu, henti-hentikanlah.
“Ada yang mempertikaikan di mana saya dapat duit atau modal tersebut, itu adalah hasil simpanan saya sendiri,” ujarnya.


Manakala pempengaruh sensasi, Bulan atau nama sebenarnya Mabel Ira Bulan,27, mengaku bersimpati dengan tuduhan yang dilemparkan kepada Fikry Kiki.
“Bagi saya, tuduhan sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Sebab niat kami baik, usahakan bisnes ini dalam masa yang sama membantu masyarakat untuk menjana pendapatan.
“Sepatutnya, masyarakat atau netizen sokong anak muda seperti kami yang berusaha untuk memajukan diri. Bukannya tuduh yang bukan-bukan.
“Saya selesa berkawan dengan Kiki. Dia pun ada potensi untuk jadi usahawan berjaya cuma perlukan masa. Saya pun masih dalam proses belajar.
“Jadi kami saling membantu dan sering berkongsi idea untuk memajukan Liquffe yang saya lihat boleh pergi jauh. Kopi tanpa bancuh yang pertama di Malaysia,” katanya yang menegaskan modal RM600 ribu adalah perkongsiannya dengan Fikry Kiki.


Berkongsi tentang Liquffe, Bulan berkata, ejen tidak perlu perlu risau kerana kopi cecair ini menggunakan bahan organik dan berasaskan tumbuhan serta mengandungi nektar atau gula kelapa yang bagus untuk kesihatan.
“Penyelidikan telah dilakukan selama tiga bulan. Dalam tempoh tersebut banyak berlaku penolakan kerana mahukan rasa kopi yang terbaik yang tidak menggunakan gula putih sebaliknya nektar kelapa.
“Kalau nak tahu, nektar kelapa ini mempunyai nutrisi yang tinggi seperti menstabilkan paras gula dalam darah, membantu melawan keradangan, membantu meningkat metabolisme, bagus untuk kesihatan usus dan banyak lagi,” ujarnya.

Bulan juga meluahkan rasa syukurnya apabila impiannya untuk muncul dengan produk yang bagus dan bermanfaat kepada masyarakat akhirnya tercapai.
Selain membantu masyarakat menjana pendapatan, Bulan akui mahu sentiasa berbakti kepada masyarakat seperti menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia.
“Insya Allah, ini adalah sesuatu yang baharu buat saya. Melalui kerjasama ini, untuk permulaan saya membeli 100 naskhah Al Quran Braille daripada pertubuhan ini untuk disumbangkan kepada persatuan orang buta yang lain.
“Bagi saya, Al Quran ini sangat penting kerana hidup kita lebih teratur dan terurus selagi kita berpaut dengannya, selain ia merupakan mukjizat paling agung,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, pembeli Liquffe berpeluang untuk merebut hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti Motosikal Honda RS-X, pelbagai peralatan eletrik rumah dan gajet.
Sesiapa yang ingin membeli dan menjadi ejen boleh rujuk TikTok Liquffe Malaysia. – WILAYAHKU