Artikel

NAFAS perkukuh jenama, tatakelola

MUHAMMAD FARIS mahu mengangkat NAFAS setanding dengan koperasi-koperasi pertanian yang berjaya di luar negara.
- Diterbit 23 Oktober 2024 12:36 PM MYT

DITUBUHKAN pada 1972‚ Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kini mengorak langkah baharu bagi mengukuhkan ‘jenama’ mottonya ‘dari peladang untuk peladang’.

Melalui lantikan pakar teknologi dan pengurusan korporat‚ Muhammad Faris Arriffin sebagai Pengurus Besar yang baharu‚ NAFAS tidak lagi boleh sekadar berada di zon selesa.

Itulah cabaran dipikul Muhammad Faris di usia 52 tahun NAFAS apabila banyak pertubuhan peladang yang bernaung di bawahnya belum lagi mampu self independent atau berdikari.

Akui beliau majoritinya masih memerlukan bantuan kerajaan yang disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Sehingga hari ini‚ NAFAS disertai 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN)‚ 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan dianggotai 930‚000 ahli peladang di seluruh negara.

Satu jumlah yang besar dan berstruktur namun tegas Muhammad Faris‚ beliau mahukan NAFAS menjadi ‘gergasi’ dalam sektor pertanian mahupun keterjaminan makanan.

Di sebalik semuanya itu katanya ia bukan tugas mudah kerana memerlukan satu reformasi organisasi dan juga perubahan dari segi pemikiran dan budaya kerja.

Cita-cita beliau cukup tinggi terhadap NAFAS‚ mahu duduk sama rendah‚ berdiri sama tinggi dengan koperasi-koperasi petani ternama luar negara yang amat berjaya. Contohnya Fonterra di New Zealand; Zen-Noh (Jepun) dan koperasi-koperasi petani di Taiwan‚ Korea Selatan serta Australia.

“Wesfarmers dari Australia menjadi sampai konglomerat yang besar. Kenapa kita (NAFAS) tidak boleh sampai tahap mereka yang berjaya? Umur (usia penubuhan) mereka pun lebih kurang kita. Di mana silapnya?

“Sampai sekarang kerajaan masih lebih ‘menongkat’ pertubuhan peladang. Sebenarnya kita boleh bergerak jauh ke depan‚” katanya kepada Wilayahku.

Beliau memberitahu‚ setahun selepas diberi mandat untuk membuat pembaharuan pada NAFAS‚ pertubuhan peladang itu bertindak menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantapan Tatakelola bagi meningkatkan profesionalismenya.

“Kita cuba memenuhi hasrat Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tatakelola. Ia (jawatankuasa khas) dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan dianggotai wakil-wakil dari Kementerian Kewangan‚ Kementerian Ekonomi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ia berkaitan piagam ahli lembaga pengarah‚ tugas-tugas mereka dan apa pula tugas pengurusan kerana ketika ini semuanya tak jelas. Perlunya satu lantikan pengurusan yang profesional‚ barulah (NAFAS) boleh bergerak macam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang hebat.

“Inilah antara perubahannya kerana kita dapat suntikan dana daripada kerajaan‚ itu duit kerajaan‚ duit rakyat. Ini kita mahu tukar mindset‚” tegasnya.

STRUKTUR BISNES NAFAS

Bercakap mengenai lapangan bisnes NAFAS‚ Muhammad Faris berkata lebih 95 peratus janaan pendapatan NAFAS adalah daripada kontrak baja subsidi manakala selebihnya adalah perniagaan-perniagaan lain.

Katanya‚ kilang baja milik NAFAS di Gurun‚ Kedah di bawah Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd merupakan syarikat usaha sama NAFAS‚ PPN‚ PPK‚ ahli-ahli peladang dan Petronas Fertilizer Kedah Sdn Bhd yang mula beroperasi pada 2004.

Ia menjalankan aktiviti pengilangan baja dengan memproses pelbagai jenis baja antaranya Padi 1 dan Padi 2 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) serta Baja NPK Tambahan di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

Kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 340‚000 tan metrik setahun dengan keupayaan penghasilan 12 formulasi baja.

Kemudiannya jelas Muhammad Faris‚ NAFAS memiliki NAFAS Bajakimia Sdn Bhd bertanggungjawab dalam mengimport‚ mengangkut dan mengagihkan bekalan baja tunggal dan baja sebatian kepada peladang-peladang di seluruh Malaysia‚ khususnya dalam bidang penanaman padi.

NAFAS Agri Services Sdn Bhd pula menjalankan aktiviti memasarkan pelbagai input pertanian manakala NAFAS Plastic Industries merupakan syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti dan perniagaan penghasilan pelbagai jenis produk yang berasaskan plastik dan bahan pembungkusan.

Untuk bisnes ayam katanya‚ NAFAS memiliki tiga anak syarikat iaitu NAFAS Food Processing & Marketing Sdn Bhd yang menjalankan aktiviti memproses ayam dan NAFAS mempunyai kilang memproses ayam di Sungai Bakap‚ Pulau Pinang selain NAFAS Feedmills Sdn Bhd iaitu kilang membuat makanan ayam di Muar dan Medan Juara Sdn Bhd‚ kilang mengeluarkan anak ayam daging di Kota Tinggi.

Di sebalik semuanya itu‚ Muhammad Faris amat berbangga dengan langkah NAFAS melancarkan Dana Peladang Kebangsaan (DPK) yang menyediakan perkhidmatan kewangan kompetitif kepada ahli dan rangkaian pertubuhan peladang (PP) di seluruh negara.

“Ideanya sama macam amanah saham tetapi ini spesifik untuk ahli peladang dan dana diurus oleh profesional. Bermula 2012‚ kita punya pulangan purata lapan ke 10 peratus dan tahun lepas kita umum sembilan peratus dividen.

“Ini adalah kelebihan menjadi ahli peladang. Total pengurusan aset ketika ini lebih RM300 juta dan ia salah satu kebanggaan kepada pertubuhan peladang‚” katanya.

Bercakap mengenai industri sawit‚ katanya‚ NAFAS juga memiliki anak syarikat dalam penanaman sawit termasuk di Aceh‚ Indonesia.

NAFAS juga jelasnya merupakan pengedar eksklusif jentera jenama Case untuk traktor pertanian selain menjadi pusat utama pemasaran produk-produk agromakanan jenama Peladang.

“Semuanya ini menyumbang lima peratus kepada pendapatan NAFAS. Tetapi kadang-kadang yang lima peratus ini boleh mendatangkan keuntungan besar jika diurus dengan baik.

“Bila saya masuk ke dalam NAFAS‚ saya ditugaskan untuk buat semula penstrukturan korporat kerana kita berdepan dengan kelemahan pengurusan. Kerugian terkumpul pada syarikat-syarikat subsidiari amat menyedihkan. Jadi semuanya ini kita nak kena perbetulkan‚ kena buat plan bisnes yang baru‚” katanya.

PERTANIAN BANDAR

Kepada soalan mengenai aspek pertanian bandar‚ katanya di Kuala Lumpur‚ sebagai contoh‚ masih belum ditubuhkan PPN atau PPK.

“Kita dalam proses untuk menarik minat orang ramai menubuhkannya terutama dengan pertumbuhan teknologi di mana kita boleh buat pertanian dalam bandar‚ tak perlu tanah.

“Dengan adanya teknologi‚ kita boleh buat indoor akuakultur‚ indoor rumah hijau atau pertanian dalam bandar.

“Jadinya sekarang kita perluaskan skop ini kepada produk-produk makanan berasaskan pertanian dan ia pun boleh menjadi sebagai satu kriteria menjadi ahli pertubuhan peladang‚” katanya.

Mengenai minat anak muda kepada sektor pertanian pula‚ beliau berkata ramai daripada golongan itu minat kepada sektor berkenaan disebabkan adanya perkembangan teknologi.

“Teknologi dron‚ amat menarik minat anak muda menceburi pertanian. Semuanya boleh dilakukan dengan teknologi jika hendak mengawal selia pertanian‚” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas