PENYANYI Nabila Razali, 31 selamat bernikah dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 38, dengan sekali lafaz pada jam 10.11 pagi tadi.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali selamat dinikahkan oleh Jurunikah, Ustaz Fawwaz dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang.
Dalam majlis yang bertemakan ‘English Garden’ ini, Nabila menerima mas kahwin bernilai RM22.50 manakala wang hantaran dirahsiakan.
Berkongsi perasaan selepas bergelar isteri, Nabila meluahkan rasa syukur kerana majlis dirancang berjalan lancar.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi majlis pernikahan berjalan dengan lancar.
“Terima kasih kepada tetamu dan ahli keluarga yang turut menjayakan majlis ini, dan tidak lupa kepada peminat di atas doa serta sokongan yang diberikan kepada Bella dan suami,” katanya.
Majlis yang berlangsung secara sederhana itu dihadiri kira-kira 250 termasuk tetamu VIP dan rakan-rakan artis.
Antara selebriti yang hadir ialah Wany Hasrita, Hael Husaini, Hawa Rizwana, Amira Othman, Ara Johari, Sissy Iman dan ramai lagi
Pasangan itu bakal diraikan dalam satu majlis resepsi bertemakan taman yang berlangsung pada sebelah petang di tempat yang sama. – WILAYAHKU